My Add

Thursday 17 May 2012

Pas terus beretorik umum projek mega

KOTA BAHARU, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS kini terus beretorik dengan mengumumkan beberapa projek mega menjelang pilihan raya umum ke-13 ini semata-mata untuk mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan negeri turut mengutamakan pembangunan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata kerajaan negeri itu sepatutnya merasa malu dengan kegagalan melunaskan janji-janji lama seperti jambatan merentangi Sungai Kelantan antara Kampung Cina di sini ke Palekbang di Tumpat pada 1996 dan membina Pasar Baru Pasir Mas yang dijanjikan pada 2005.

"Mana janji-janji yang mahu membina projek-projek itu dan Umno tidak hairan PAS kembali menabur janji-janji baru menjelang pilihan raya umum ini," katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Herbs and Beauty Fest 2012 di perkarangan Kompleks Mara di sini, hari ini.

Mohd Fatmi mengulas beberapa pengumuman kerajaan negeri mengenai projek mega seperti pembinaan stadium di Pasir Puteh dan pembinaan lebuh raya tanpa tol pertama di Kelantan menghubungkan Kota Baharu-Kuala Krai yang membabitkan peruntukan berbilion ringgit.

Beliau berkata pada pilihan raya umum lepas juga kerajaan negeri turut mengedarkan borang bagi rakyat mendapatkan rumah kos rendah namun selepas tamat pilihan raya dan PAS kembali menguasai Kelantan segala janji itu tidak pernah ditunaikan.

"Saya percaya perkara yang sama akan berlaku lagi dan rakyat akan menyaksikan satu lagi janji palsu yang pasti tidak akan ditunaikan," katanya.

Mohd Fatmi juga berharap Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kembali memainkan peranan dalam memajukan Kelantan yang dilihat tidak bermaya dalam memacu pembangunan di negeri itu.

"Rakyat Kelantan tidak tahu apa peranan PKINK sekarang yang dilihat lesu dan senyap. Kembalilah kepada peranan asal untuk terus merangsang ekonomi di Kelantan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment