My Add

Wednesday 16 May 2012

PBPM minta kenal pasti individu ganggu majlis PM di London

6KUALA LUMPUR, RABU, 16 Mei, 2012: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) meminta Kementerian Luar dan Kementerian Pengajian Tinggi mengenal pasti individu yang berbuat bising semasa majlis pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersama rakyat Malaysia di London, semalam. 

Ketua Penerangannya, Mohd Zainan Yunus, berkata tindakan itu memberi gambaran buruk kepada masyarakat luar, sekali gus menjejaskan imej serta nama baik Malaysia.

"Tindakan yang dibuat oleh dua tiga orang individu itu sangat kurang ajar dan biadap...mereka yang menjerit sambil melaungkan perkataan 'Bersih' adalah tidak wajar malah tidak hormat kepada Perdana Menteri kita.

"Sekiranya didapati individu berkenaan adalah terdiri daripada golongan pelajar, tajaan pengajian mereka perlu ditarik balik dan pulang semula ke tanah air," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Semasa sesi "Sepetang Bersama Perdana Menteri" semalam yang dihadiri 1,500 orang sempena lawatan kerja dua hari Najib ke United Kingdom, dua tiga orang muncul pada majlis tersebut dan berbuat bising sambil melaungkan perkataan 'Bersih'. 

Sementara itu, Mohd Zainan berkata persatuan itu juga terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang menghina dan mencaci anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan di ibu negara pada 28 April lalu. 

Katanya, pelbagai gelaran yang dilemparkan kepada anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan itu seolah-olah anggota polis adalah musuh mereka.

"Jangan terus hina dan caci polis kerana kami mempunyai ahli keluarga. Kami hanya manusia biasa yang bertugas untuk menjaga keamanan negara. Polis juga adalah sahabat kepada masyarakat dan tiada niat untuk mencaci orang lain," katanya. 

Mohd Zainan menjelaskan polis bertindak berdasarkan undang-undang negara dan prosedur standard operasi (SOP) dan mengikut arahan Ketua Polis Negara tanpa menyebelahi mana-mana pihak. 

Katanya, persatuan itu telah menghantar satu memorandum Bantahan Bersih 3.0 kepada Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar, di Bukit Aman hari ini yang meminta pihak-pihak tertentu menghentikan provokasi yang dibuat kepada pihak polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment