My Add

Friday 11 May 2012

Pelaburan OIC di Malaysia

*NAJIBTun Razak, bergambar bersama wakil-wakil syarikat yang telah menandatangani perjanjian kerjasama selepas majlis pelancaran Forum Pelaburan Kumpulan Bank Pembangunan Islam-Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Forum Ekonomi Islam Sedunia, Tun Musa Hitam.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjemput para pelabur dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menimbangkan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai pelaburan selamat bagi wang tunai berlebihan masing-masing.
Katanya, program itu melibatkan pelaburan yang besar di dalam beberapa sektor utama teknologi canggih, yang termasuk teknologi hijau dan diperbaharui, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan serta hospitaliti.

"Kebanyakan pembiayaan yang diperlukan bagi ETP akan diperoleh dari sumber domestik tetapi kami juga menimbangkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi melengkapi usaha ini," katanya dalam ucaptama di Forum Pelaburan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB)-Malaysia di sini.

Sehuungan itu, Najib berkata, negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat perlu melabur di Asia baharu ini.

"Anda mempunyai peranan untuk dimainkan di dalam pembangunan kami dan anda akan mendapat manfaat di dalam kepentingan itu dalam masa depan kami.

"Dahulu, anda merasa selamat dan menguntungkan untuk melabur modal lebihan anda di negara-negara Barat. Kini adalah masanya melakukan perkara yang sama di negara sebelah timur," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia adalah gerbang negara-negara pengeluar minyak untuk memasuki rantau Asia.

Sebagai contoh, katanya, Komuniti Ekonomi ASEAN, yang akan dilaksanakan pada 2015, akan menyaksikan Malaysia menjadi gerbang kepada pasaran serantau bagi hampir 600 juta penduduk dengan tarif sifar bagi 99.4 peratus daripada produk yang boleh didagangkan.

Perdana Menteri berkata, perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani oleh ASEAN dan ekonomi-ekonomi utama Asia bermakna pemasaran keutamaan kini mencecah 3.2 bilion pengguna, yang termasuk penduduk India, Korea, Australia dan New Zealand.

"Ia merupakan pasaran di mana taraf kehidupan sedang meningkat dan perbelanjaan barangan pengguna sedang meningkat dengan tetap.

"Itulah yang saya maksudkan semasa saya menyatakan bahawa melakukan perniagaan dengan Asia melalui Malaysia memberikan kelebihan strategik utama," katanya.

Perdana Menteri berkata, ciri-ciri ke arah pembangunan yang dipersetujui sebagai penting bagi mencapai kejayaan ialah keupayaan negara-negara membangun menggunakan lebihan kekayaan secara berfaedah.

Dengan lain perkataan, negara-negara yang berjaya melakukan perubahan telah mempelajari cara-cara untuk melabur dan melabur dengan betul, katanya.

Secara ringkasnya, katanya, keupayaan mendapatkan kemahiran asas kapitalisme telah membolehkan masyarakat berkenaan menjadi lebih makmur dan membangun.

Najib berkata, pergerakan untuk maju telah mencetuskan kesedaran baharu di seluruh dunia yang mana beberapa negara miskin telah menjadi kurang miskin dan tidak kurang negara berpendapatan sederhana menyertai kelompok negara-negara kaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment