My Add

Sunday 20 May 2012

Pembangkang menangguk isu air Lembah Klang

Oleh Jalil Hamid

AHAD, 20 Mei, 2012:
ADA yang menyatakan ia adalah masalah jangka panjang di China. Bagaimanapun, ia bukannya masalah makanan atau bekalan tenaga yang sedikit sebanyak memeningkan perancangan ekonomi China. Sebaliknya ia adalah masalah air.

Sekiranya masalah kekurangan bekalan air tidak diselesaikan di Utara China, maka perkara itu akan memberi kesan kepada seluruh negara itu, demikian kata pengulas. Malah, Bank Dunia turut memberi amaran mengenai ‘akibat bencana kepada generasi masa depan’ disebabkan kekurangan air.

Kekurangan air, berdasarkan laporan yang diterbitkan, menyebabkan China menanggung RM122 bilion (US$39 bilion) setahun akibat kerugian tanaman dan pengeluaran perindustrian yang rendah.

Masalah itu khususnya berlaku di Utara China, di mana sebahagian penduduknya hanya bergantung kepada kira-kira 15 peratus bekalan air China, demikian kata laporan itu.

Dekat dengan kita, amaran itu amat jelas. Berjuta orang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor - kawasan yang pesat membangun dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi akan menghadapi masalah kekurangan air yang serius menjelang 2014 jika projek air secara besar-besaran, yang kini dihentikan kerajaan pakatan pembangkang Selangor, tidak dilaksanakan sebelum itu.

Catuan air atau malah pemotongan bekalan akan menjadi satu fenomena biasa di seluruh Lembah Klang ketika itu. Prospek kekurangan air adalah benar, permintaan meningkat didorong oleh peningkatan populasi yang terus mengatasi bekalan semasa yang terhad, memaksa rizab air negeri jatuh ke tahap yang membimbangkan iaitu 2.4 peratus, jauh di bawah paras tahap yang ideal sebanyak 20 peratus.

Terdapat juga isyarat lain yang membimbangkan. Pelabur mula menjauhkan diri dari Selangor, menyebabkan negeri itu kerugian pelaburan dalam 129 projek bernilai RM3.8 bilion dan 12,300 peluang pekerjaan. Sesetengah projek perumahan juga tidak dapat diteruskan kerana tiada jaminan bekalan air mencukupi. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah kerajaan negeri menjadikan isu bekalan air sebagai ‘tebusan’ untuk kepentingan politik sempitnya. Apa yang mereka pertaruhkan ialah masa depan berjuta orang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan yang penting keselamatan bekalan air.

Sejak berkuasa pada 2008, kerajaan negeri berkeras ke atas isu air dengan enggan meluluskan perintah pembangunan untuk pembinaan loji rawatan air Langat 2.

Tanpa ini, projek berjuta-juta ringgit kerajaan Pusat untuk memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor untuk memenuhi permintaan di Lembah Klang hampir terbantut. Kerja pembinaan ke atas loji Langat untuk merawat air mentah Pahang sepatutnya bermula dua tahun lalu, dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Malangnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan untuk membatalkan projek itu. Kepentingan pakatan dan bukannya kepentingan rakyat diberi keutamaan oleh Khalid.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak terus mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu.

Ini adalah kerana baginda tidak mahu Selangor berdepan dengan krisis air yang boleh menjejaskan nama baiknya sebagai negeri maju disebabkan pelabur berpindah ke tempat lain.

“Walaupun ada sesetengah pihak beranggapan masalah air adalah remeh, beta memandang serius kerana kita akan berdepan dengan masalah yang boleh menjejaskan kehidupan dan pembangunan negara," titah baginda.

Kita harus melihat Singapura yang amat menitikberatkan mengenai pengurusan bekalan air. Di Singapura, air adalah perkara berkaitan keselamatan, bukan politik. Keutamaan kerajaan republik itu ialah untuk memastikan bekalan air yang mencukupi untuk rakyatnya dan turut merancang awal untuk menjamin bekalan berterusan.

Dunia mengakui bagaimana Singapura yang kekurangan bekalan, yang pernah bergantung kepada Johor untuk bekalan air, telah mengatasinya dan muncul sebagai peneraju global yang diiktiraf dalam pengurusan air.

Hari ini, republik itu dapat memenuhi keperluan air, daripada sumber dalaman seperti air yang dikitar semula, tadahan air hujan dan juga penyahmasinan. Ketika ini terdapat 17 takungan air di republik itu.

Dengan tambahan, terdapat lima lima loji NEWater, yang membekalkan 30 peratus keperluan air di Singapura. NEWater adalah air kumbahan yang diproses.

Air laut yang dinyahgaramkan kini memenuhi 10 peratus keperluan air Singapura. Ketika ini, ada satu loji berkaitannya sedang beroperasi dan sebuah lagi dijangka siap tahun depan. Penyahmasinan itu kemudiannya dijangka memenuhi 30 peratus keperluan air di Singapura.

Dengan menggunakan Singapura sebagai rujukan, kerajaan Selangor seharusnya menyokong komitmen kerajaan Pusat untuk memastikan jaminan bekalan air di Lembah Klang dan daerah lain di Selangor.

Bagaimanapun, ini tidak berlaku setakat ini. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, Khalid dan barisan Exconya tidak boleh bermain-main dengan isu air. Ada pihak yang berkata, Khalid adalah seorang ahli politik yang lurus bendul. Mereka harus bertanggungjawab untuk ‘membekukan’ projek bekalan air di negeri itu.

Jika tidak, 7.3 juta penduduk dan 1.52 juta pengguna komersial dan industri satu hari nanti akan terputus bekalan air. - BERITA HATIAN

No comments:

Post a Comment