My Add

Thursday 17 May 2012

Pendakwaan akan buktikan tertuduh bunuh wanita Perancis

KUANTAN, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Pihak pendakwaan hari ini membentangkan kes untuk mengemukakan keterangan mengenai kematian seorang wanita warga Perancis, Stephanie Foray, 30, di Pulau Tioman tahun lepas, akibat perbuatan dan tindakan tertuduh, Asni Omar, 37.

Timbalan Pendakwaraya Mahkamah Tinggi Kuantan, Salim Soib@Hamid, dalam ucapan pembukaan berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan Pakar Patologi Forensik bagi membuktikan kematian si mati mungkin akibat kesan hentakan tumpul ke kepalanya.

Selain itu, katanya, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung, mengenai keadaan serta bukti dokumen bagi mengaitkan tertuduh, seorang peniaga, dengan kesalahan yang dilakukannya seperti terkandung dalam pertuduhan.

Salim berkata, pihak beliau akan membawa keterangan menunjukkan bahawa tertuduh melakukan kesalahan dengan niat mendatangkan kecederaan ke atas si mati untuk menyebabkan kematian, antara kira-kira 8 malam 10 Mei 2011 hingga 12 tengah hari 12 Mei 2011 di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin, Pahang.

Pihak pendakwaan katanya, akan mengemukakan keterangan bahawa si mati berada di Pulau Tioman pada 10 Mei 2011 dan dilihat ada bersama-sama tertuduh pada sebelah malam hari yang sama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment