My Add

Friday 11 May 2012

Pendekatan kreatif selesai masalah rakyat - PM

SHAH ALAM, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Barisan Nasional (BN) menggunakan pendekatan lebih kreatif bagi menyelesaikan masalah dan aduan rakyat secara berkesan sesuai dengan perkembangan era moden pada masa kini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, pendekatan tersebut termasuk menyediakan saluran lebih mudah untuk rakyat berhubung dengan kerajaan sebagaimana langkah BN Selangor mewujudkan Pusat Khidmat Rakyat (Pakar).

"Pakar merupakan cara yang baik dan boleh dipertimbangkan untuk diselaraskan dengan BN negeri lain.

"Ini merupakan satu bentuk pendekatan yang bernilai dan kreatif," katanya pada temu bual secara langsung bersama deejay Dassky Shan Ewas di saluran radio, Selangor FM di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri melayan dan menjawab aduan daripada dua pemanggil yang menghubungi hotline Pakar selepas menyempurnakan perasmian Pakar di Bangunan UMNO Selangor, di sini.

Pakar memulakan operasinya sejak 9 April lalu dan sehingga semalam telah menerima 1,963 aduan daripada orang ramai.

Penduduk tempatan boleh menelefon Pakar BN Selangor di talian 1300-22-2626 untuk menyampaikan sebarang aduan mengenai pelbagai masalah di negeri ini.

Dalam pada itu, Najib turut melancarkan lagu Sayangi Selangor Yakini BN, penubuhan Persatuan Barisan Artis Nasional (BRAN) peringkat nasional dan pelepasan teksi-teksi tempatan yang mengibarkan bendera BN pada kenderaan masing-masing. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment