My Add

Thursday 3 May 2012

Penganjur dapat sokongan AS

Anwar rela jadi kuda DAP 

Oleh Meor Hisham Zulkifli
KUALA LUMPUR, RABU, 02 Mei, 2012: Hubungan penganjur perhimpunan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan Kongres Amerika Syarikat (AS), mencetuskan persoalan kemungkinan ada usaha menggunakan pihak asing untuk menumbangkan kerajaan.

Seorang penulis bebas, Nile Bowie yang menyumbang rencana untuk laman web Global Research yang berpangkalan di Montreal, Kanada, berkata walaupun penganjur perhimpunan, Datuk S Ambiga menegaskan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, mereka disokong penuh oleh Anwar yang mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai pertubuhan di Amerika.

Katanya, ada pertubuhan yang berpangkalan di AS membiayai kumpulan propembangkang di Russia serta Asia Barat dan Ambiga sendiri pernah mengakui menerima dana daripada National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diketuai George Soros.

“Memetik rencana New York Times bertajuk Kumpulan AS memupuk benih kebangkitan Asia Barat, NDI mendapat dana daripada National Endowment for Democrasy (NED), sebuah pertubuhan yang mendapat dana daripada Kongres AS,” katanya dalam entri terbaru blognya.

NDI adalah NGO yang aktif memupuk pembaharuan demokrasi dan dipengerusikan bekas setiausaha negara AS, Madeline Albright.

Nile berkata, penganjur perhimpunan itu turut mendapat sokongan sebuah lagi pertubuhan yang berpangkalan di AS, Freedom House yang mendapat dana langsung daripada Kongres dan pada awal tahun ini mengeluarkan kenyataan mendesak Malaysia membenarkan perhimpunan aman.

“Meskipun desakan untuk mengatasi kelemahan sistem pilihan raya dan tuntutan lain oleh BERSIH mungkin ada justifikasi, kerjasama kumpulan itu dengan parti politik pembangkang serta kumpulan yang dibiayai AS menggambarkan ada maksud tersirat,” katanya. 

Beliau turut memetik amaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Barisan Nasional (BN) menjadi sasaran disebabkan pendirian keras kerajaan terhadap Israel dan kritikan terhadap dasar Amerika.

“Dr Mahathir turut mengecam Anwar yang mempunyai hubungan akrab dengan Paul Wolfowitz (bekas ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa IMF), serta pemimpin lain daripada pertubuhan Project for the New American Ventury (PNAC),” katanya.

Dalam blognya itu, Nile turut memetik Dr William Robinson berhubung gerakan demokrasi menumbangkan kerajaan menerusi buku Promoting Polyarchy yang menyatakan AS membentuk pelbagai pertubuhan berbeza di seluruh dunia untuk menyusup ke dalam sistem politik negara lain bagi memenuhi agenda Washington.

“Ketika penganjur kelihatan tidak mempunyai kaitan dengan politik, kerjasama pemimpinnya dengan pembangkang jelas bertujuan mengerah peserta demonstrasi di bawah payung besar gerakan pilihan raya bebas dan adil,” katanya.

Ketua Pembangkang akui lebih mempercayai Kit Siang, tak kisah dipergunakan

Di IPOH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau rela menjadi kuda tunggangan DAP jika tindakan itu membolehkan pakatan pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Katanya, beliau lebih mempercayai pemimpin DAP dan mendengar nasihat mereka berbanding mana-mana pemimpin dalam UMNO.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO, Najib (Perdana Menteri) kata Anwar ini bahaya kerana jika dia menjadi Perdana Menteri, dia akan dipergunakan oleh DAP, oleh orang Cina.

“Ada saya kisah? Saya tidak kisah jika terima nasihat dan pandangan daripada Lim Kit Siang (Penasihat DAP) kerana saya lebih yakin dan percaya dengan beliau daripada UMNO... saya tidak bersikap apologetik (tidak akan menyesali mengenai perkara itu). 

“You can quote me on this (Awak boleh petik kata-kata saya) dan jadikan ia sebagai headlines (berita utama) esok,” katanya merujuk kepada pemberita yang hadir pada ceramah perdana sempena Konvensyen Pakatan Pembangkang Perak di sini, malam kelmarin. 

Turut menyampaikan ceramah adalah Kit Siang, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming serta Setiausaha pakatan pembangkang Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik. 

Kira-kira 3,000 penyokong pembangkang menghadiri majlis ceramah itu yang diadakan di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Perak dengan majoritinya terdiri daripada ahli PAS dan DAP. 

Konvensyen sehari itu turut mengemukakan lima resolusi dan empat ketetapan yang antara lain menyatakan komitmen untuk merampas kembali Perak pada PRU-13. 

Anwar juga mendakwa UMNO kini sudah tidak lagi memainkan sebarang isu, sebaliknya menggunakan taktik bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap pembangkang. 

Katanya, beliau lebih banyak menumpukan serangan terhadap UMNO kerana mendakwa hanya parti itu yang masih ada kuasa dan sokongan berbanding parti komponen Barisan Nasional (BN) lain. 

“Orang tanya kenapa tidak sebut MCA? Saya tidak menyebut MCA, MIC, GERAKAN, sebab parti itu sudah tidak relevan lagi,” katanya. 

Beliau juga memuji golongan muda yang terbabit dalam perhimpunan BERSIH 3.0 kerana tidak lagi takut terhadap pihak berkuasa, sebaliknya berani tampil untuk menuntut kebebasan dan hak bersuara. 

“Kalau dulu bila ada orang ambil gambar peserta perhimpunan, masing-masing tunduk dan cepat-cepat tutup muka... tetapi anak muda sekarang lebih berani bila ada helikopter dan paraglider polis ambil gambar mereka... mereka tidak kisah pun,” katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment