My Add

Friday 11 May 2012

Pengetahuan mengenai ubat masih rendah: Tiong Lai

KOTA BHARU, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Tahap pengetahuan masyarakat di negara ini berhubung penggunaan ubat-ubatan serta pemahaman mengenai penggunaannya secara betul masih rendah, iaitu pada kadar 44.4 peratus, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai. 

Beliau berkata, situasi itu agak membimbangkan kerana kerajaan membelanjakan sejumlah RM1.7 bilion untuk membeli ubat pada 2011 bagi kegunaan di fasiliti kerajaan sahaja.

"Justeru, Kementerian Kesihatan sedang berusaha meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat terhadap ubat-ubatan bagi mengelakkan mereka menggunakan ubat secara tidak betul hingga memudaratkan kesihatan," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Program Duta Kenali Ubat Anda di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. 

Liow berkata, walaupun perbelanjaan itu tinggi, kerajaan tetap memberi komitmen menyediakan penjagaan kesihatan terbaik, termasuk membekalkan ubat-ubatan yang berkualiti. 

"Oleh yang demikian, masyarakat perlu menghargai ubat yang dibekalkan dengan mematuhi cara penggunaan yang betul. Negara bukan sahaja mengalami kerugiaan akibat daripada penggunaan ubat yang tidak rasional, malah ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada individu," katanya. 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai prasarana kesihatan yang baik meliputi bandar hingga ke kawasan pedalaman, termasuk perkhidmatan melalui sungai dan udara. 

Bagaimanapun, Liow berkata masih ramai pengguna yang lebih gemar merawat sendiri penyakit dengan membeli ubat di gerai, kaki lima, pasar malam atau jualan langsung tidak bertauliah sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada kesan sampingan yang berbahaya. 

Mengenai program Duta Kenali Ubat Anda, beliau berkata mereka yang dilantik terdiri daripada individu berpengaruh dalam masyarakat seperti penghulu, ketua kampung, wakil persatuan penduduk dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Katanya, pihak kementerian akan melatih duta berkenaan tentang ubat-ubatan agar informasi mengenai penggunaan yang betul dapat disampaikan kepada masyarakat dengan berkesan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment