My Add

Saturday 26 May 2012

Pelaburan bioteknologi RM4 billon

PENYELIIKAN dalam bidang bioteknologi di negara ini mampu menarik minat pelaburan langsung syarikat-syarikat luar negara. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 25 Mei, 2012: Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain, menyasar untuk mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM4 billon dalam sektor bioteknologi perindustrian pada 2012 hingga 2013.

Ketua pegawai eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, BiotechCorp akan mengadakan kerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk mencapai sasaran FDI.

Agensi terbabit termasuk Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kerajaan negeri Selangor, katanya dalam kertas perbentangannya bertajuk, "Menjana Rangkaian Nilai Bioteknologi Perindustrian untuk Mendorong Bioekonomi Malaysia" di persidangan BioBasedChem Asia yang kedua di Bangkok.

Di antara bidang khusus yang disasarkan untuk FDI itu adalah pengeluaran bahan berasaskan bio dan bahan kimia yang dikeluarkan dari biojisim.

Mohd. Nazlee berkata, Asia kini menjadi tumpuan bagi bahan berasaskan bio dan pertumbuhan ini membuka peluang untuk pelaburan, perkongsian dan kerjasama.

"Kami menjangka untuk mengeluarkan antara 760,000 tan metrik biojisim kering, kebanyakannya daripada kepingan kayu untuk mengeluarkan 500,000 tan metrik karbohidrat yang akan ditukarkan menjadi pelbagai jenis bahan kimia berasaskan bio," katanya.

Mohd. Nazlee berkata, pasaran bahan kimia berasaskan bio dijangka meningkat lebih 20 peratus setahun dan melebihi AS$500 bilion (RM1.5 trilion) sehingga 2017 dengan lebih 15 peratus daripada jualan bahan kimia global akan didapati daripada sumber berasaskan bio menjelang 2025.

"Selain daripada bekalan yang mencukupi, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi capaian pasaran dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan, yang antara lain, menghormati harta persendirian dan hak harta intelek.

"Bersama dengan sokongan dan dasar kerajaan, ini akan menjadi faktor penyumbang kepada usaha ke arah agenda ekonomi bio Malaysia dan mencapai sasarannya untuk menjadi hab penapisan bio serantau menjelang 2015," katanya.

Bioekonomi, yang merangkumi penggunaan bioteknologi dalam industri utama, disasarkan untuk menjadi salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk Malaysia menjejaki langkah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Belanda, Jerman dan Perancis.

Bioekonomi, terutamanya menerusi teknologi bio perindustrian, akan menjadi satu anjakan paradigma untuk menyuntik pendekatan baharu kepada industri sedia ada di Malaysia seperti komoditi dan petrokimia untuk memanfaatkan kepelbagaian bio negara secara mampan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment