My Add

Thursday 17 May 2012

Penyokong Baju Merah berhimpun di Bangkok Sabtu ini

BANGKOK, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Beribu-ribu penyokong kumpulan Baju Merah dijangka mengadakan perhimpunan di pusat bandar Sabtu ini sempena ulang tahun kedua pertembungan antara kumpulan itu dan tentera yang mengakibatkan 92 orang terkorban, dua tahun lalu. 

Pengerusi Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD), Thida Thawornset, berkata 100,000 penyokong Baju Merah dijangka menghadiri perhimpunan itu di persimpangan Ratchaprasong, di sini, bermula tengah hari.

Beliau berkata, ulang tahun bagi memperingati pertembungan 19 Mei 2010 itu, juga untuk menuntut keadilan bagi mereka yang terkorban dan cedera dalam pertempuran dari April hingga Mei tahun itu.

Lebih 1,800 orang cedera dalam tempoh April hingga Mei tahun itu dan 19 Mei adalah kemuncak kepada pertembungan itu apabila tentera mengambil alih persimpangan Ratchaprasong yang diduduki kumpulan Baju Merah lebih daripada 40 hari. 

Senjata M-16, AK-47s dan bom digunakan dalam pertempuran pada 19 Mei itu. 

Kumpulan Baju Merah mengadakan protes jalanan selama sebulan, bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan yang lalu untuk membubarkan Parlimen. 

Kumpulan itu kini memihak kepada kerajaan sekarang. 
"Kami mahu keadilan. Kami tidak mahu melihat lagi pembunuhan atau keganasan," kata Thida. 

Lebih 1,000 polis akan dikerahkan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman semasa perhimpunan besar-besaran itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment