My Add

Friday 4 May 2012

Perhimpunan: 12 NGO serah memorandum tuntut pampasan

KUALA LUMPUR, JUMAAAT, 04 Mei, 2012: Dua belas badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bagi menuntut pampasan berhubung kerugian yang dialami ketika perhimpunan di ibu negara, Sabtu lalu. 

Anggota Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Bahagian Hal Ehwal Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata memorandum itu dikepilkan bersama aduan polis yang dibuat.

"Sebelum ini kami dah bersuara. Ini kali ketiga kami menghadapi kerugian dan kali ini kami bertemu dengan menteri supaya mendapat pampasan," katanya kepada pemberita bagi mewakili NGO berkenaan selepas menyerahkan memorandum kepada Raja Nong Chik di Menara DBKL, di sini.

Beliau berkata sehingga kini, lebih 100 aduan polis telah dibuat oleh 12 NGO tersebut, yang antara lain mewakili peniaga dan pengusaha supaya polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur perhimpunan berkenaan. 

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata beliau akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok. 

Katanya, beliau berjanji akan membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat Kabinet, Rabu depan. 

"Saya bertanggungjawab dan mewakili NGO-NGO di sini. Saya akan meminta Perdana Menteri supaya mengambil tindakan yang tegas terhadap penganjur perhimpunan itu," katanya. 

Raja Nong Chik menganggarkan DBKL terpaksa menanggung kerugian lebih RM1 juta akibat perhimpunan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment