My Add

Tuesday 22 May 2012

Perhimpunan BERSIH 3.0: Anwar, Azmin hadapi 2 tuduhan

DARI kiri; Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin.Cikgu Bard turut didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini

Tuduhan 1:
Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012, iaitu menganjurkan atau menyertai suatu protes jalanan. Boleh dihukum denda maksimum RM10,000.


Tuduhan 2:
Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengingkari perintah diisytiharkan majistret. Boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Oleh Johari Ibrahim dan Norhashimah Mohd Radzali
KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin atau Cikgu Bard, menjadi individu pertama dituduh mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana terbabit dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Ketiga-tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengikut Seksyen 4(2)(c) akta itu kerana menganjurkan atau menyertai protes jalanan.

Mereka menghadapi satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 dan 34 akta sama kerana bersubahat mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh majistret.

Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Timbalan Presidennya dan Cikgu Bard menerima writ saman untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, semalam.

Peguam SN Nair, ketika dihubungi, berkata writ saman dihantar ke pejabat anak guamnya di Ibu Pejabat PKR di Damansara dan Anwar memaklumkan akan hadir ke mahkamah.

Sumber Pejabat Peguam Negara mengesahkan mereka akan dihadapkan ke mahkamah hari ini atas dua tuduhan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar di laman sosial Facebook Polis KL, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, polis sudah menghantar saman kepada Anwar, Azmin dan Badrul Hisham untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan mengikut dua akta berkenaan.

Kenyataan pejabat Azmin pula menyatakan bagi dakwaan pertama, beliau dituduh menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat pada 26 April 2012 oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Perintah itu melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka, iaitu semua permukaan tanah yang disempadani Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab kecuali kawasan diduduki Kelab Diraja Selangor dan orang awam diberi amaran agar tidak hadir, berada atau mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan antara 28 April dan 1 Mei lalu.

Azmin dituduh melakukan kesalahan itu di sepanjang Jalan Tun Perak antara jam 2.30 dan 3 petang, 28 April lalu.

Bagi dakwaan kedua, Azmin dituduh bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas dalam mencapai niat bersama, bersubahat dengan Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R Tangam; peguam, G Rajesh Kumar; dan pemandu van, Farhan Ibrahim @ Alias, mengingkari perintah itu.

Azmin didakwa bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mana keingkaran mereka dan penyokong BERSIH 3.0 lain yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu. Tangam, Rajesh dan Farhan sudah dihadapkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini atas tuduhan berkaitan BERSIH 3.0. - BERITA HAIAN

No comments:

Post a Comment