My Add

Friday 4 May 2012

Perlembagaan, kedudukan Islam tetap dipertahan - Najib

GUA MUSANG, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Barisan Nasional (BN) tidak akan meminda Perlembagaan dan akan terus mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan bagi memastikan usaha untuk menegak serta mengembangkan agama suci itu dapat diteruskan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah Perdana Menteri turut menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya mengeluarkan kenyataan politik apabila mahu meminda Perlembagaan dan Islam tidak lagi kekal sebagai agama rasmi negara sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Beliau berkata, Pas kini sudah hilang arah perjuangannya kerana desakan yang dibuat oleh sekutu rapatnya, DAP.

"Perlembagaan sudah ada, ketinggian Perlembagaan tetap kita pertahankan, itu pendirian BN, mana boleh Perlembagaan dipinda sewenang-sewenangnya dan ada hikmah bila kita buat sesuatu.

"Dia (Pas) sudah buat macam-macam perubahan daripada segi dasar mereka, mula hendak negara Islam atas desakan DAP tukar kepada kerajaan kebajikan kemudian hudud kemudian meminda Perlembagaan mengenai Islam agama rasmi nampaknya satu kenyataan politik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia peringkat Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment