My Add

Tuesday 15 May 2012

Permohonan Ambiga soal balas menteri, KPN ditolak

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Mei, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan anggota Jawatankuasa BERSIH 2.0 dan Pengerusinya, Datuk S Ambiga, untuk menyoal balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berhubung pengharaman BERSIH 2.0. 

Hakim Datuk Rohana Yusuf yang membuat keputusan dalam kamar, turut menolak permohonan Ambiga untuk menyoal balas Ketua Polis Negara dan mendapatkan 1,706 laporan polis yang dibuat terhadapnya serta anggota kumpulan itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad, mewakili Hishammuddin, Ketua Polis Negara dan kerajaan yang dinamakan sebagai responden manakala peguam K Shanmuga mewakili pemohon.

Azizan kemudian memberitahu pemberita bahawa hakim membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Ambiga dikemukakam di luar tempoh yang ditetapkan. 

"Sepatutnya Ambiga membuat permohonan dalam tempoh 14 hari selepas mahkamah memberi kebenaran pendengaran permohonan semakan kehakiman, tetapi pihak Ambiga membuat permohonan melebihi tempoh yang mengambil masa lebih daripada empat bulan," katanya. 

Beliau berkata, mahkamah turut merujuk affidavit lanjutan Hishammuddin yang mengekalkan kenyataan bahawa BERSIH 2.0 adalah haram serta tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman. 

Katanya, Hakim Rohana menetapkan 26 Jun untuk pendengaran semakan kehakiman Ambiga bagi mencabar keputusan Hishammuddin bahawa kumpulan itu adalah sebuah pergerakan haram. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment