My Add

Saturday 5 May 2012

Perusuh berhasrat ke Dataran Merdeka: Polis

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Polis mendapati perusuh pada perhimpunan Sabtu lalu di ibu negara mempunyai hasrat untuk menuju ke kawasan yang dilarang berhimpun oleh mahkamah iaitu Dataran Merdeka. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata niat perusuh perhimpunan itu terbukti berdasarkan gambar-gambar yang diperoleh daripada pihak media dan polis.

"Rempuhan ini menunjukkan mereka mempunyai hasrat menuju ke Dataran Merdeka yang dikawal oleh polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Polis KL hari ini.

Sabtu lalu, peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei. 

Semalam polis mengenal pasti 49 orang termasuk seorang wanita, yang dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh pada perhimpunan bertukar ganas dekat Dataran Merdeka itu. 

Kenyataan itu turut menyertakan gambar rusuhan dan juga gambar 42 orang perusuh yang terbabit dalam perhimpunan tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment