My Add

Sunday 13 May 2012

PM lepaskan peserta KMJ 2012 hari ini

*SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar menunjukkan motosikal Harley Davidson Street Glide yang bakal digunakan baginda pada Kembara Mahkota Johor di Istana Pelangi, Johor Bahru, semalam.

Oleh AZIZI MAJID  dan 
IFQDAR A. RAHMAN

JOHOR BAHRU, SABTU, 12 Mei, 2012: Konvoi motosikal berkuasa besar Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang bermula esok dan diketuai oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Sebelum melepaskan KMJ 2012, Najib terlebih dahulu akan memulakan lawatan dengan bersarapan pagi bersama rakyat di Pasar Raya TJ Mart Kulaijaya.

Sebaik pelepasan konvoi, beliau akan menaiki helikopter ke Pengerang, Kota Tinggi untuk majlis pelancaran Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Keberangkatan Sultan Ibrahim di tapak projek Rapid sekitar pukul 12 tengah hari akan disambut oleh Najib dan baginda akan mencemar duli merasmikan projek mega minyak dan gas tersebut sebelum berangkat dengan konvoi KMJ 2012 ke destinasi seterusnya.

Program kembara diraja sejauh 1,012 kilometer itu akan meneruskan perjalanan ke Mersing, Kluang, Segamat, Muar, Ledang, Batu Pahat, Pontian dan berakhir di Plaza Angsana, di sini pada Rabu ini.

Setiausaha KMJ 2012, Mohd. Fahmi Yahya berkata, kerja-kerja persiapan akhir berjalan lancar seperti dirancang.

"Cuma tinggal sedikit kerja akhir yang perlu disiapkan bagi menghadapi kembara yang memasuki musim ke-15 ini.

"Setakat ini tiada masalah yang timbul kerana inilah rutin yang dilakukan sejak dahulu. Diharapkan, apabila KMJ 2012 bermula, tidak pula timbul masalah lain yang tidak diingini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kata Mohd. Fahmi, pihaknya memastikan setiap cenderamata dibungkus sebelum diedarkan kepada orang ramai ketika peserta konvoi singgah di hentian yang ditetapkan sepanjang perjalanan tersebut.

Tambahnya, pakaian dan pelekat kenderaan yang akan digunakan peserta turut diperiksa supaya ia mencukupi sebelum diagihkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment