My Add

Thursday 3 May 2012

Polis edar 49 gambar peserta BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Polis mengedarkan senarai pertama 49 gambar individu yang dikehendaki susulan pembabitan mereka dalam perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata individu yang terbabit dalam senarai pertama gambar yang diedarkan itu diminta hadir ke balai polis berhampiran.

Beliau berkata, polis akan mengedarkan beberapa siri gambar lain dari semasa ke semasa.

Sementara itu, katanya, 258 laporan polis dibuat daripada pelbagai pihak termasuk peguam, wartawan, peserta perhimpunan, orang awam, peniaga dan polis berhubung perhimpunan terbabit.

“Kesemua laporan berkenaan sedang diteliti pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah seterusnya akan disiasat di bawah undang-undang negara.

“Saya memberi jaminan, semua laporan yang diterima akan disiasat seadil-adilnya oleh pihak polis bagi memastikan proses undang-undang di negara ini dapat ditegakkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohmad berkata, polis sudah meneliti aduan yang diterima serta gambar yang disiarkan oleh media termasuk rakaman pihak polis dan memohon kerjasama individu yang terbabit untuk hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. 

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat, menyaksikan atau terkilan dengan sebarang tindakan pihak polis semasa proses penyuraian atau penangkapan ketika perhimpunan berlangsung, tampil memberi maklumat atau hubungi Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz di nombor 019-2602344 dan 019-3872344 atau menerusi emel azmiaziz@rmp.gov.my. - Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment