My Add

Tuesday 22 May 2012

Program Wacana MBMMBI lahir penulis muda

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Mei, 2012: Program Wacana Memperkasakan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mampu melatih dan melahirkan lebih ramai penulis muda di negara ini.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, ia juga selaras dengan strategi Kementerian Pelajaran dan sekolah melahirkan penulis muda sekali gus mengambil bahagian membantu menerbitkan 28,000 judul bahan bacaan menjelang 2015.

“Dengan ada program sebegini, ia mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang diperlukan dalam pasaran kerja negara.

“Selain berupaya melontar idea bernas, komunikasi berkesan serta penulisan yang baik dengan penggunaan bahasa yang betul juga adalah perkara yang perlu diberi perhatian," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini semalam.

Program yang dianjurkan Perpustakaan Negara dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Setiawangsa itu berlangsung selama tiga hari berakhir semalam, melibatkan 24 buah sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara termasuk penyertaan pelajar dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Program itu turut menyaksikan beberapa pertandingan diadakan antaranya pidato, pengucapan awam dan bercerita dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagi pertandingan bercerita kategori antarabangsa dimenangi Nuha Jes Izman dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara; naib johan, Shivraaj Singh Khaira dari Rosyth School, Singapura dan tempat ketiga, Isheta Shah dari Sekolah Minden Height, Pulau Pinang.

Pertandingan bercerita kategori bahasa Melayu pula dimenangi oleh Minhah Barakah Che Johari dari Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Terengganu; naib johan, Lim Li Chuin dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Lick Hung dan tempat ketiga, Afiq Husaini Rozali dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.

Menurut Raslin, program yang dianjurkan itu menjadi medan terbaik kepada pelajar menyerlahkan bakat di samping mengasah kemahiran berdepan dengan orang ramai.

“Pertandingan ini juga seiring dengan dasar MBMMBI yang ingin menggalakkan pengunaan bahasa yang betul di kalangan pelajar selaras dengan keperluan negara memartabatkan bahasa kebangsaan dan memperkukuhkan bahasa Inggeris," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment