My Add

Thursday 17 May 2012

Provokasi tidak gugat PM bertemu rakyat: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Tindakan provokasi beberapa individu terhadap Datuk Seri Najib Razak ketika pertemuannya dengan rakyat Malaysia di London baru-baru ini tidak menggugat keyakinan Perdana Menteri untuk terus bersemuka dengan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai seorang negarawan, Najib adalah seorang yang bersikap terbuka dan tidak mungkin rasa tergugat dengan keadaan sebegitu.

"Beliau (Najib) tahu di mana-mana saja mungkin berlaku (keadaan seperti itu) tetapi majoriti yang hadir memang menyambut baik kecuali dua tiga orang yang berniat jahat nak mencemarkan majlis," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia dan makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Ketika sesi 'Sepetang Bersama Perdana Menteri' pada Selasa sempena lawatan kerja dua hari Najib ke London, beberapa inidividu muncul dan berbuat bising pada majlis tersebut yang dihadiri 1,500 orang. 

Muhyiddin berkata, walaupun perbuatan itu kurang sopan dan tidak menghormati pemimpin negara, namun kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengambil tindakan setiap kali seseorang bersuara menentang kerajaan. 

"Kita tidaklah, apabila tiap-tiap kali seseorang bersuara sebegitu, akan diambil tindakan tetapi perbuatan itu tidak menggambarkan sifat seorang Malaysia yang berbudi pekerti dan menghormati pemimpin," katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez tidak maklum mengenai keadaan sebenar sehingga membuat dakwaan melulu kononnya pekerja asing Bangladesh menerima layanan buruk di Malaysia. 

Sambil mempersoalkan muslihat di sebalik dakwaan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang warga asing pulang ke negara mereka jika merasakan Malaysia tidak selamat dan tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi mereka, seperti yang didakwa Irene. 

"Kalau mereka kata dianiaya dan nak balik, kita kata dia boleh balik tetapi saya percaya sebahagian besar 99.9 peratus tidak bersetuju dengan Irene Fernandez... jadi apa muslihat Irene Fernandez untuk memburuk-burukkan Malaysia," katanya. 

Malah, katanya, menteri yang menjaga hal ehwal pekerja asing Bangladesh menemuinya semalam, untuk memohon kerajaan Malaysia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja dari negara itu. 

"Kalau mereka kata Malaysia negara yang tidak adil, rakyat mereka ditekan, kenapa kerajaan Bangladesh memohon supaya kerajaan timbang balik supaya jangan diadakan pembekuan," katanya. 

Baru-baru ini, Irene turut dikecam pelbagai pihak apabila membuat kenyataan yang disiarkan 'The Jakarta Post' kononnya Malaysia tidak selamat bagi pekerja Indonesia kerana kononnya negara ini tidak mempunyai rangka kerja mahu pun undang-undang khusus untuk melindungi pekerja. 

Irene turut mendakwa kerajaan Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang, yang mana kedua-duanya tidak termasuk di bawah dasar kadar gaji minimum sektor swasta. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment