KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Ahli-ahli UMNO sudah bersiap siaga “berperang bila-bila masa" untuk memenangi dengan majoriti lebih besar Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), yang akan diadakan bila-bila masa.
Mereka kini hanya menanti “final blow" daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri dalam sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional di sini Jumaat lalu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera, Rafiza Abdul Rahim berkata, langkah menyusun strategi untuk merampas semula negeri yang ditawan parti lawan dibuat sebaik keputusan PRU Ke-12 (PRU-12) diumumkan.
“Kita telah membuat persiapan sebaik sahaja kita mengalami kekalahan di Pulau Pinang. Jentera parti disusun sejak 2008 dan kita hanya tunggu ‘final blow’ daripada Presiden parti," katanya.
Beliau mengulas ucapan Najib pada majlis sambutan ulang tahun ke-66 parti itu pada 11 Mei lalu yang bertanya tahap keyakinan ahli dalam menghadapi PRU-13.
Sementara itu, ahli UMNO Bahagian Shah Alam, Fadzli Mustar berkata, mesej ucapan Najib mengenai persiapan ahli dalam menghadapi pilihan raya umum yang dianggap paling getir dalam sejarah, diterima dengan jelas oleh ahli.
“Beratus-ratus ribu ahli datang daripada jauh, dari Perlis hingga ke Sabah untuk meraikan sambutan ulang tahun UMNO. Itu adalah isyarat jelas kepada Presiden bahawa ahli telah bersedia.
“Saya fikir jentera gerak kerja parti telah disiapkan lebih awal dan sudah sampai masanya (pilihan raya diadakan)," kata Fadzli.
Ketua Wanita UMNO bahagian Labis, Haslinda Saleh pula berkata, sayap Wanita UMNO telah lama bersedia untuk menghadapi PRU.
“Isu sedikit sebanyak masih wujud , tapi kami telah menjelaskan isu berkenaan dan ahli menerimanya.
“Calon bukan satu isu, kami menerima siapa sahaja yang dicalonkan oleh Presiden. Tidak ada istilah merajuk atau patah hati. Kami akan bekerja keras," kata beliau.
Ia dipersetujui Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norhayati Onn.
“Wanita UMNO sudah bekerja lebih daripada tiga tahun. Kami rapat dengan rakyat. Kita bergerak setiap hari. Laporan harian dan bulanan kita berikan. Memang kami telah bersedia.
“Kami tidak ada masalah dengan calon. Kita terima pilihan Presiden, tanpa mengira siapa calon berkenaan," katanya.
Laporan video temu bual eksklusif TV Utusan dengan ahli-ahli UMNO ini boleh diikuti dihttp://xtive.utusan.com.my/video.php?v=506 - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment