My Add

Saturday 12 May 2012

PRU-13 ibu segala pilihan raya

*NAJIB bersama Muhyiddin menaikkan bendera pada perhimpunan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Seluruh isi perjuangan nasib bangsa jadi taruhan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan PRU-13 bukan sekadar mempertaruhkan kuasa politik, tetapi seluruh isi perjuangan dan nasib sebuah bangsa.
Katanya, UMNO selaku pembela sebenar rakyat perlu kekal sebagai benteng kepada mereka, dalam berhadapan dugaan paling getir dalam sejarah pada PRU-13 yang sudah benar-benar hampir.

Sambil mengingatkan seluruh ahli parti bahawa masa tidak banyak lagi untuk bersiap siaga, Timbalan Presiden UMNO berkata, jika benteng itu rosak dan terhakis, akan rosaklah segala kota perpaduan dan keharmonian yang terbina selama ini.

Justeru, katanya, UMNO harus menyediakan saf pejuang yang benar-benar kuat bekerja dan mampu memenangi hati rakyat.

“Jangan biarkan musuh merosakkan perpaduan dan keharmonian yang sudah kita bina. 
“Jangan benarkan mereka menyebarkan dakyah dan ideologi songsang yang mempengaruhi akidah kita.

“Jangan izinkan mereka merosakkan amalan hidup kita yang beretika dan bermoral.

“Jangan sama sekali restui dan membiarkan rakyat dinodai dengan fahaman menyesatkan, ideologi yang mengharu-birukan,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Dalam meneruskan perjuangan parti, Muhyiddin mengajak seluruh ahli UMNO menghayati maksud tersirat dalam Surah Al-Taubah, Ayat 41 yang menyeru umat Islam mara ke medan perang di Tabuk dengan semangat jihad yang kental.

“YAB Presiden (Datuk Seri Najib Razak), kami sudah bersedia mengorak langkah. Taat setia sudah kami tumpahkan. Tekad dan iltizam sudah kami ikrarkan.

“Tiuplah semboyan perang. Ayuh kita ke medan juang. Tiada paling bermakna buat parti kita, melainkan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya yang juga Pengerusi Pengurusan perhimpunan itu.

Beliau berkata, UMNO dan BN melalui kembara politik luar biasa apabila diberi mandat untuk mentadbir negara sejak merdeka.

Walaupun landskap politik dan pendekatan parti sudah berubah, katanya, nilai dan matlamat perjuangan UMNO kekal utuh, malah sudah membuktikan kemampuan untuk berubah mengikut kesesuaian masa tanpa mengorbankan asas serta matlamat perjuangan parti.

Muhyiddin turut menyeru lebih tiga juta ahli UMNO memberi sepenuh kesetiaan dan keyakinan kepada kepimpinan Najib, sekali gus bersama Presiden memastikan UMNO terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment