My Add

Friday 11 May 2012

PSC berpuas hati dengan projek kilang Lynas

*MOHAMED Khaled Nordin (tiga kanan) ditemani Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) dan Zulkifli Noordin (kanan) mendengar taklimat dan penerangan mengenai alat pengesan radiasi yang wajib dipakai oleh semua pekerja Lynas ketika melawat kilang Lynas di Gebeng, Kuantan, semalam. Turut sama Mashal Ahmad (tiga kiri).

KUANTAN, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) berpuas hati dengan hasil lawatan mereka selama kira-kira empat jam ke kilang itu di Gebeng di sini hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lawatan serta taklimat yang diberikan pengurusan Lynas itu juga membolehkan mereka mendapat maklumat dan fakta tepat mengenai isu kilang berkenaan yang hangat diperdebatkan ketika ini.

"Kita memang berpuas hati dengan taklimat disampaikan, tambahan pula pengurusan kilang berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk datang dan melihat sendiri operasi yang bakal dilaksanakan.

"Selepas ini kita akan mendengar pula daripada pihak yang membantah kerana tujuan PSC ditubuhkan adalah untuk mengumpul fakta dan menggunakan segala kepakaran serta fakta saintifik dan akademik sebelum membuat rumusan," katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan.

Anggota PSC yang menyertai lawatan itu adalah Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng dan MD Lynas Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Mashal Ahmad.

Seorang lagi ahli jawatankuasa tersebut, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri pula tidak hadir.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia merupakan negara yang mempunyai peraturan dan standard yang lebih tinggi daripada Australia dan negara lain di dunia bagi pembinaan kilang tetapi LAMP berjaya mengikutinya.

"Pihak kilang meletakkan satu standard yang boleh mengawal pencemaran termasuk air, udara dan juga produknya sendiri.

"Selain itu, impak yang paling jelas ialah kilang ini dapat membantu negara kita berhijrah ke abad 21 dan ia boleh dimanfaatkan semua pihak sama ada dari segi teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan modal insan," jelasnya sambil memberitahu ini merupakan kali ketiga taklimat mengenai LAMP disampaikan.

Tambahnya, satu perkara yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini bahawa antara syarat yang ditetapkan ialah kilang berkenaan perlu membayar satu peratus daripada hasil jualan kasar bagi tujuan pengurusan sisa dan R&D.

"Bagi LAMP, sebanyak RM300 juta ditetapkan bagi tujuan tersebut iaitu 50 peratus untuk pengurusan sisa dan 50 peratus untuk R&D dan itu tidak termasuk R&D syarikat terbabit," ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli turut berpuas hati dengan taklimat yang diberikan berdasarkan fakta dan data yang tepat.

"Kilang ini ternyata tidak menyembunyikan apa-apa fakta dan saya lihat sendiri melalui lawatan ini mengenai segala operasi yang bakal dijalankan. Bagaimanapun, saya akan mendengar dan mendapatkan reaksi daripada orang awam pula," jelasnya.

Tambah Ahli Parlimen Bebas itu, jika sebuah restoran akan membawa pelanggan ke dapurnya bagi meyakinkan hidangan yang disediakan selamat tetapi pengurusan Lynas berjaya melakukan lebih daripada itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment