My Add

Saturday 5 May 2012

Pusat integrasi perkhidmatan holistik


KOTA BHARU, JUMAAT, 4 Mei, 2012: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan menjadi pusat integrasi perkhidmatan secara holistik.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Ibrahim Muhamad berkata, perkhidmatan yang ditawarkan di pusat tersebut meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian serta agro makanan.

Selain itu, kata beliau, pusat itu turut menyediakan perkhidmatan urusan perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, seminar, latihan kemahiran, khidmat klinikal serta peluang dan ruang niaga produk pertanian.

Tambah beliau, perkhidmatan yang disediakan di RTC itu terbuka kepada semua pihak yang ingin melakukan transaksi kewangan sama ada dalam bentuk simpanan wang, pinjaman, cagaran, permodalan, bantuan kewangan perniagaan dan sebagainya.

"Selain perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan, syarikat swasta juga dilibatkan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

"Ini memperlihatkan kelangsungan sinergi yang silang dinamik antara pihak kerajaan dan swasta di mana akhirnya impak kerjasama berkenaan akan dirasai dan dinikmati oleh rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pelbagai lagi usaha seperti program khidmat nasihat pendidikan tinggi kepada pelajar lepasan sekolah, program melahir dan mengembangkan budaya usahawan juga akan dilaksanakan berdasarkan peranan RTC dalam mentransformasi ekonomi luar bandar.

"Pendek kata, RTC ini adalah untuk semua golongan dan lapisan masyarakat.

"RTC direka untuk memberi manfaat kepada penduduk luar bandar mengikut keperluan menyeluruh berdasarkan lapan inisiatif.

"Melalui keupayaan dan kajian terperinci, didapati kita mampu menyediakan kesemua lapan inisitaif di mana rakyat Kelantan akan mendapat khidmat dan manfaat yang sama seperti disediakan kepada rakyat di RTC Perak," katanya.

Lapan inisiatif tersebut ialah latihan kemahiran kepada penduduk luar bandar, penubuhan Kios Informasi 1Malaysia, pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro makanan, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kemudahan pembiayaan kewangan kepada penduduk luar bandar, perkhidmatan keselamatan makanan dan farmaseutikal serta kerjasama universiti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment