My Add

Friday 4 May 2012

Rakyat jangan mudah diperalat

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 03 Mei, 2012: - Rakyat negara ini perlu lebih rasional agar tidak terus diperbodoh dan diperalatkan pemimpin pembangkang yang tergamak menghalalkan demonstrasi ganas demi kepentingan tertentu dan cita-cita mereka untuk merebut kuasa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika rakyat berterusan terpedaya dengan usaha pembangkang itu, mereka sebenarnya turut sama bersubahat kerana perbuatan sedemikian jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

"Saya harap rakyat tidak mudah diperalatkan orang lain. Jika tidak, kita (rakyat) pun bersubahat sama melakukan perbuatan keji (rusuhan ganas) yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Jangan biar diri kita terikut-ikut dan jadi ganas seperti mana dianjurkan pihak tertentu untuk menghancurkan negara. Negara kita akan sentiasa aman damai kalau kita tidak terpengaruh dengan perbuatan mereka ini," katanya

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Cabaran Umat Islam Masa Kini: Persepsi dan Realiti pada majlis Bicara Negarawan Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dekat sini hari ini yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Beliau seterusnya berharap rakyat negara ini lebih rasional, menggunakan akal fikiran yang waras dengan meneliti terlebih dahulu sama ada penglibatan mereka itu benar-benar mengikut suruhan Islam atau sebaliknya.

"Tapi ada pemimpin tertentu kata, adakan rusuhan dan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan adalah halal dari segi Islam. Mereka lebih memilih cara ini (rusuhan) seperti yang berlaku di negara lain untuk mencetuskan huru hara.

"Walaupun mereka tahu ia dilarang dalam Islam tapi ini tidak mempengaruhi mereka, sebaliknya mereka berdemonstrasi secara ganas untuk merebut kuasa," ujarnya.

Dr. Mahathir dalam ucaptamanya turut menjelaskan bahawa tindakan pembangkang menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 sehingga mencetuskan kekecohan dan keganasan tempoh hari bertujuan menumbangkan kerajaan demi kerakusan dan tamak kuasa.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya berlaku penipuan dalam proses pilihan raya di negara ini sehingga mengundang bantahan pihak pembangkang termasuk menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 itu.

Sebaliknya, jelas beliau, sejak sekian lama, tidak pernah wujud pembohongan pada setiap kali pilihan raya yang diadakan di negara ini seperti mana didakwa pembangkang berbanding di negara lain khususnya negara-negara Arab.

"Kalau benarlah ada penipuan (dalam pilihan raya), kenapa setiap pilihan raya ramai calon lawan dapat kemenangan besar. Tak pernah berlaku pula, kerajaan (Barisan Nasional) dapat semua undi, sebaliknya menang tipis.

"Dan kalau ada penipuan, (maknanya) bodoh sungguhlah kerajaan ini (BN) nak tipu pun tak pandai. Lainlah di negara Arab, mereka di sana menipu dan sebab itulah boleh memerintah sehingga 40 tahun," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment