My Add

Friday 4 May 2012

Rakyat Kelantan tunjuk gelombang perubahan, sokongan

*MUSTAPA Mohamed (kiri) bersama Yahya Khatib Mohamad (dua dari kiri) pada majlis penyerahan bendera Larian UMNO sempena sambutan ulang tahun UMNO Ke-66 di Kampung Pachakan, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

PASIR PUTEH, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Rakyat Kelantan semakin menunjukkan gelombang perubahan dengan memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana rakyat Kelantan termasuk penyokong Pas sendiri semakin terhimpit dengan pelbagai permasalahan yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan Pas Kelantan.

Menurutnya, keadaan tersebut diburukkan lagi dengan dasar perjuangan Pas yang semakin tersasar, ditambah dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mewajibkan orang ramai menyertai demonstrasi haram Bersih 3.0, sedangkan ia jelas mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta awam.

"Bagi penyokong fanatik Pas, kenyataan Nik Abdul Aziz dianggap sebagai fatwa yang tidak boleh diingkari. Apakah ulama turut memilih pendekatan agresif yang menimbulkan keganasan dan huru-hara sedangkan pendekatan lebih Islamik dan bertatasusila masih boleh dipraktikkan di negara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bendera Larian UMNO sempena sambutan ulang tahun UMNO Ke-66 di Kampung Pachakan, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Bendera UMNO itu kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu dengan kehadiran lebih 3,000 penyokong parti dari kedua-dua negeri.

Mustapa berkata, Islam jelas tidak membenarkan perpecahan, huru-hara dan keganasan seperti yang berlaku dalam Bersih 3.0 tetapi didakwa sebagai 'wajib' oleh pemimpin Pas.

"Perjuangan Pas yang bersandarkan agama sudah berubah semata-mata kerana kepentingan politik dan kerusi pilihan raya yang mahu dimenangi," katanya.

Menurutnya, UMNO juga berupaya untuk berdemonstrasi jika mahu melakukannya, tetapi parti itu lebih mengutamakan ketenteraman dan keselamatan negara.

Beliau berkata, hanya UMNO dan BN yang sentiasa membangunkan negara, membela nasib rakyat secara menyeluruh termasuk di Kelantan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti krisis bekalan air bersih, memperkasa pembangunan dan mengurangkan pengangguran.

Mustapa berkata, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kelantan esok turut menyuntik semangat jentera parti dan rakyat bagi mengembalikan semula tampuk pentabdiran negeri kepada kerajaan yang lebih cekap dan berwibawa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment