My Add

Thursday 3 May 2012

Rayuan habeas corpus Kashgari ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Kolumnis Arab Saudi, Hamza Kashgari Mohamed Najeeb terlepas peluang untuk mencabar kesahihan penahanan dan penghantarannya dari negara ini ke Arab Saudi, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan habeas corpusnya.

Kolumnis asing itu turut gagal dalam rayuannya agar mahkamah tertinggi negara menentukan beberapa perkara yang belum pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk isu tuntutan ganti rugi berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu yang menolak permohonan habeas corpus Hamza Kashgari, 23, dikekalkan.

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan tersebut selepas membenarkan bantahan awal Kerajaan Malaysia atas alasan permohonan habeas corpus itu kini akademik kerana kolumnis asing berkenaan tidak lagi berada di negara ini.

Dalam permohonannya, Hamza Kashgari yang didakwa telah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Perayu diwakili oleh peguam-peguam, Amer Hamzah Arshad dan Muhammad Afiq Mohamad Noor manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Amir Nasaruddin dan Mohd. Zain Ibrahim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment