My Add

Saturday 5 May 2012

Rebut peluang program IKS

*MUHYIDDIN menyampaikan sumbangan dan beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Cina dan Melayu di Kampung Batu 23 Lenga, dekat Pagoh, Muar, Johor, semalam.

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
PAGOH, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Kawasan luar bandar kini turut menjadi tumpuan pembangunan ekonomi melalui Program Transformasi Luar Bandar untuk meningkatkan tahap ekonomi penduduk di kampung-kampung dalam usaha kerajaan merapatkan jurang pendapatan dengan kawasan bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masyarakat desa perlu merebut peluang yang disediakan dalam program tersebut melalui industri kecil dan sederhana (IKS) dan mikro kerana ia berpotensi menjana pendapatan tinggi seperti di bandar.

"Perkara ini harus diberi tumpuan, zaman sudah berubah yang mana kampung-kampung juga boleh menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang pesat yang tidak tertumpu kepada pertanian sahaja tetapi dikembangkan kepada skala lebih besar seperti penghasilan produk makanan.

"Kesedaran baru ini adalah usaha untuk memberi nilai tambah kepada luar bandar yang memerlukan kerajinan penduduk kerana terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Jangan berfikiran kekampungan dan harus punyai perasaan untuk memajukan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Tanggungjawab Korporat (CSR) SME Bank di Balai Raya Kampung Kurnia Sakti di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan Ahli Dewan Negara merangkap Ketua Wanita UMNO Pagoh, Senator Noriah Mahat.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 50 keluarga miskin, wang tunai RM10,000 kepada dua mangsa kebakaran dan 40 unit komputer bagi menjayakan Pusat Komputer 1Malaysia di balai raya itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah menggerakkan Program Transformasi Luar Bandar ini sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Politik dalam pelan utama Program Transformasi Nasional.

Sementara itu, Mohd. Radzif berkata, SME Bank sendiri turut melakukan transformasi dalaman yang banyak membawa kepada perkembangan bank itu sendiri sejak ia ditubuhkan.

"Peningkatan sebanyak 117 peratus permohonan pinjaman dicatatkan bagi 2011 berbanding tahun sebelumnya bagi membantu usahawan mendapatkan modal perniagaan.

"SME Bank juga turut memperolehi keuntungan sebanyak RM146 juta tahun lalu sekali gus menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding kerugian yang dialami pada 2010 dan 2009," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment