My Add

Saturday 5 May 2012

RTC jayakan agenda transformasi luar bandar


*NAJIB Tun Razak bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) meninjau aktiviti pada Karnival RTC Kelantan sempena perasmian RTC itu, semalam.

KOTA BHARU, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kelantan dan Perak akan dapat menjayakan agenda transformasi luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kementerian beliau akan memastikan kedua-dua pusat berkenaan padat dengan kegiatan ekonomi bagi memastikan hasrat kerajaan merapatkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar berjaya.

Menurutnya, hasrat kerajaan tersebut telah menampakkan hasil dengan pelancaran RTC Gopeng, Perak sebelum ini di mana pendapatan petani berjaya ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM3,000 sebulan.

"Seramai 1,500 turut berjaya mendapat pekerjaan, jadi ini merupakan kebaikan yang diperolehi," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran RTC Kelantan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan pelbagai acara menarik, antaranya karnival pekerjaan, gerai jualan dan pameran pelbagai agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, RTC Kelantan akan turut menempatkan beberapa buah bank bagi menyediakan pembiayaan projek luar bandar kepada masyarakat setempat.

Selain itu, kata beliau, ia akan turut menempatkan pelbagai kementerian yang dilakukan melalui Strategi Lautan Biru supaya masyarakat luar bandar mendapat manfaat termasuk dari Terengganu, Pahang dan sebahagian penduduk Perak.

Beliau turut berpendapat, aktiviti perdagangan membabitkan produk pertanian di RTC Kelantan lebih matang berbanding RTC Gopeng.

"Saya harap masyarakat luar bandar di Kelantan khususnya akan terus menyambut baik dan memberi kerjasama untuk memastikan supaya ini akan dapat mengurangkan lagi jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar," katanya.

Mohd Shafie berkata, penubuhan RTC lebih baik berbanding demonstrasi haram yang melibatkan pembangkang di Kuala Lumpur.

Ini kerana, kata beliau, penubuhan RTC di Kelantan dan Perak tidak menghancurkan masa depan rakyat malah memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka.

"Kalau kita lakukan demonstrasi yang rosakkan jalan raya dan bangunan, peluang perniagaan akan merosot dan polis pun patah tulang gigi, mana kebaikannya.

"Di RTC, kita jual sayur dapat tingkat pendapatan jauh lebih baik dan kalau ada pembangkang nyatakan ini satu langkah tak baik, maka langkah yang baik mereka buat rusuhanlah; dan rakyat harus memilih antara rusuhan dan kebaikan untuk pembangunan negara kita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment