My Add

Saturday 5 May 2012

RTC Kelantan tingkat pendapatan penduduk

*NAJIB Tun Razak memukul rebana ubi sebagai tanda pelancaran Pusat Transfomasi Luar Bandar Kelantan di Tunjong, Kota Bharu, semalam sambil disaksikan (dari kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar.

KOTA BHARU, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong bakal meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar khususnya golongan petani dan nelayan.

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata, RTC Kelantan pada masa kini berupaya mencatatkan jualan sebanyak RM20 juta sebulan, berbanding sekitar RM1.2 juta di RTC Gopeng, Perak.

Beliau berkata, hasil perancangan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk rakyat Kelantan membolehkan 405 peniaga berniaga di pusat tersebut ketika ini dan keuntungan yang dicatatkan menyaksikan tapak perniagaan di situ menjadi rebutan para peniaga.

Jelasnya, RTC Kelantan yang kedua dilancarkan dalam negara, merupakan antara agenda transformasi kerajaan bagi membantu masyarakat luar bandar, berbanding pendekatan demonstrasi jalanan yang diambil oleh pembangkang.

"Transformasi lebih baik daripada demonstrasi, RTC lebih baik daripada demonstrasi, transformasi lebih baik daripada reformasi, reformasi dan demonstrasi balun polis, terbalik kereta polis dan buat huru-hara. Transformasi membela rakyat dan kita akan terus membela rakyat," katanya ketika berucap melancarkan RTC Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed; Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pelancongan, Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen.

Dalam ucapan penuh semangat di hadapan lebih 70,000 pengunjung itu, Najib berkata, kerajaan BN sentiasa mempunyai wawasan dan gagasan termasuk strategi lautan biru untuk memajukan negara serta rakyat, berbanding pembangkang yang lebih gemar berdemonstrasi dan mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan.

"Saya percaya RTC Kelantan akan jauh lebih maju, saya dah dapat lihat potensi tempat ini, hebat. Ini peringkat permulaan, lepas pelancaran ini jauh lebih hebat, akan wujud satu pusat perniagaan yang terkenal di seluruh negara, di sinilah kita akan jadikan RTC yang amat berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan terdapat 7,500 pengunjung yang mencari pekerjaan sepanjang Karnival RTC Kelantan berlangsung, 4,000 pengunjung lagi menjalani pemeriksaan kesihatan, 25,000 pengunjung gerai dengan jualan yang direkodkan kira-kira RM5 juta seminggu.

"Ini saya kata titik permulaan, Insya-Allah kita akan lakukan perkara-perkara yang lebih hebat lagi untuk negeri Kelantan, tunggu manifesto kita. Kita akan bentang, paparkan pada orang Kelantan, tengok nanti dalam masa tak lama lagi apa yang kita janji kepada rakyat Kelantan akan kita tepati, insya-Allah jauh lebih baik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment