My Add

Thursday 3 May 2012

Satukan pemikiran umat Islam - Yusuf Qaradawi

DOHA, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Tokoh cendekiawan Islam, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi mahu umat Islam menyatukan pemikiran dan tenaga bagi membangunkan semula ketamadunan Islam.

Beliau berkata, keagungan Islam tidak akan dapat dikembalikan selagi tiada persefahaman sesama umat Islam di seluruh dunia yang antara lain berpunca daripada perbezaan pandangan.

Bercakap kepada delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis di kediamannya di sini malam tadi, tokoh berusia 86 tahun itu menasihati umat Islam supaya tidak taksub dengan mazhab masing-masing.

Bagi yang tidak bermazhab, mereka juga perlu menghormati golongan bermazhab dan tidak bermusuh dengan mereka, katanya melalui seorang penterjemah daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis.

Delegasi Jawatankuasa Fatwa Perlis itu yang diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berada selama dua hari di Doha bagi lawatan kerja ke Qatar.

Pertemuan dengan Qaradawi itu adalah antara beberapa program sepanjang delegasi itu berada di Doha termasuk melawat mahkamah syariah di ibu negara Qatar itu.

Qaradawi yang pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah Malaysia pada 2009 turut memuji pembangunan Islam di Malaysia termasuk kecemerlangan urusan Haji yang dilaksanakan Tabung Haji.

Sementara itu, Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah pertemuan dengan ulama itu bertujuan bertukar fikiran mengenai Islam.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Qatar, Ahmad Jazri Mohd Johar dan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment