My Add

Tuesday 8 May 2012

Saudara baru kesal kerani JPN pertikai status agama

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Mei, 2012: Sepasang suami isteri saudara baru merasa kesal dengan layanan buruk yang mereka terima ketika berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Jalan Duta dan Batu Caves di sini baru-baru ini termasuk mempertikaikan status agama Islam mereka. 

Muhammad Yusof Abdullah dan isterinya, Siti Aisyah Abdullah kedua-duanya berusia 37 tahun berkata, kejadian pertama berlaku di kaunter JPN di Jalan Duta pada 19 April lalu manakala kejadian kedua berlaku di kaunter JPN Batu Caves pada 7 Mei.

Muhammad Yusof memberitahu Bernama di sini bahawa kedua-dua kejadian itu berlaku ketika beliau dan isterinya mahu membuat laporan mengenai kehilangan kad pengenalan dan surat beranak mereka serta empat anak mereka, berikutan satu kejadian samun di kedai mereka di Taman Segar, Selayang pada 17 April lalu.

Beliau berkata, ketika membuat laporan di JPN Jalan Duta dengan menggunakan nama Islam isterinya, kerani terbabit didakwa mengherdik isterinya dengan berkata "mengapa kau letak nama Islam dan tidak letak nama kristian (agama asal mereka)". 

Muhammad Yusof yang hampir menitiskan air matanya ketika menceritakan kejadian itu berkata, beliau terkejut dengan pertanyaan pegawai terbabit. 

"Dia (pegawai) itu sendiri pun orang Islam, tidak terfikirkah dia bahawa soalannya itu melukakan hati kami suami isteri yang sebenarnya sangat-sangat menyintai agama Islam dan kami bercadang untuk ke Sumatera untuk mengislamkan ibu bapa isteri saya yang berasal dari sana sebelum kejadian samun itu berlaku," katanya. 

Muhammad berkata, pegawai itu kemudian meminta mereka merujuk ke pejabat JPN di Batu Caves di mana surat beranak keempat-empat anak mereka dikeluarkan.

Katanya, pada 7 Mei di kaunter JPN Batu Caves pula, seorang kerani wanita mengherdik mereka dan mempertikaikan penggunaan nama Islam pada laporan kehilangan dokumen penting. 

"Yang anehnya itu adalah pejabat yang sama yang mengeluarkan semua dokumen isteri dan anak-anak saya sebelum ini. Dahulu tidak timbul pula masalah penggunaan nama Islam pada dokumen penting," katanya. 

Muhammad atau nama asalnya S Sivasubramaniam berkahwin dengan Siti Aisyah pada 2009. Siti Aisyah yang berasal dari Sumatera memeluk agama Islam pada 1995. 

Siti Aisyah juga kecewa dengan layanan kakitangan kerajaan yang beragama Islam terhadap saudara baru seperti mereka hanya disebabkan kekeliruan antara nama asal dan nama Islam mereka. 

"Ketika anak-anak saya dilahirkan saya sudah memeluk agama Islam dan sudah tentu dokumen sijil beranak mereka menggunakan nama Islam dan perbuatan kedua-dua pegawai JPN itu mempertikaikan nama Islam keluarga saya amat saya kesali," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment