My Add

Saturday 12 May 2012

Semua perlu patuh undang-undang: Najib

KUANTAN, SABTU, 12 Mei, 2012:: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus menghormati dan menyanjung tinggi undang-undang. 

Beliau juga mengingatkan mereka supaya tidak melakukan kerosakan dan menyerang anggota keselamatan kerana mereka juga adalah manusia biasa yang mempunyai anak dan anggota keluarga.

"Kita juga sudah diingatkan oleh Allah supaya tidak membuat kerosakan di muka bumi dan kita juga tahu anggota polis dan tentera pada hakikatnya adalah manusia biasa yang mempunyai anak, isteri dan keluarga.

"Kalau kita cederakan mereka, apa perasaaan anak-anak, isteri serta anggota keluarga mereka. Seoalah-olah orang yang menyerang pihak keselamatan ini seperti lupa yang mereka ini juga rakyat Malaysia," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari dan penyampaian sumbangan oleh Yayasan Rahah sempena Kejohanan Golf Amal Parlimen Pekan di Kem Batu 10 di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, dan Panglima Kem 4 Briged Mekanize, Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib. 

Najib, dalam ucapannya, berkata perhimpunan beramai-ramai boleh dianjurkan dengan syarat ia dilakukan secara aman tanpa berlaku perkara yang tidak diingini. 

"Contohnya malam tadi pada perhimpunan sambutan ulang tahun UMNO yang ke-66 di Bukit Jalil. Seramai 100,000 orang yang hadir dan terbukti pada negara, perhimpunan sebesar itu boleh berlangsung dalam keadaan yang aman dan tertib tanpa ada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya. 

Pada majlis itu, Najib turut meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membina sebuah pusat komuniti di kem berkenaan di mana RM1 juta untuk tahun ini dan RM2 juta akan diberikan pada tahun depan. 

Katanya, pusat komuniti itu adalah bagi memenuhi keperluan aktiviti harian kira-kira 5,000 anggota keluarga pasukan keselamatan di kem berkenaan dan kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan. 

Antara kemudahan yang akan ditempatkan di pusat komuniti itu nanti ialah pusat beli-belah, gimnasium, kafe siber dan kafeteria. 

Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Rahah kepada kira-kira 300 penerima yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota dan Sekolah Kebangsaan Seri Wira, Kuantan, surau dan Sekolah Agama Rakyat dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Pahang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment