My Add

Tuesday 8 May 2012

Skim khas golongan artis akan diwujudkan: Joseph Salang

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Mei, 2012: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mewujudkan satu skim khas untuk membantu golongan artis di negara ini di mana mereka perlu mencarum untuk hari tua. 

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang, berkata kementerian kini dalam peringkat perbincangan untuk menyiapkan kertas kerja mengenai skim itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Subramaniam Veruthasalam yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang memperkenalkan skim khas untuk para artis pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Salang berkata, menerusi skim itu para karyawan boleh menambah wang simpanan mereka mengikut kemampuan sehingga berusia 60 tahun dan simpanan serta faedah tahunannya boleh dikeluarkan selepas tempoh matang. 

Kepada soalan asal Subramaniam, Salang berkata, kementerian sememangnya sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan golongan artis di negara ini dan ini terbukti menerusi pengenalan Skim Belaan Artis yang diwujudkan pada 2007. 

Bagaimanapun, skim berkenaan kemudiannya digantikan dengan Tabung Kebajikan Penggiat Seni pada 2010 supaya nasib artis veteran yang daif dan uzur lebih terbela serta mendapat perhatian. 

“Menerusi tabung itu empat jenis bantuan disediakan termasuk bantuan ehsan sehingga RM10,000 kepada penggiat seni yang daif dan tiada sumber kewangan tetap,” katanya.

Salang berkata, bantuan lain ialah bantuan kematian sebanyak RM5,000 kepada balu atau waris jika seseorang artis meninggal dunia, bantuan bayaran perubatan bagi penyakit kronik sehingga RM10,000 juga disediakan. 

"Penggiat seni yang menghidap penyakit seperti kanser, angin ahmar, buah pinggang layak mendapat bantuan tetapi mestilah disahkan oleh hospital atau klinik kerajaan," katanya. 

Selain itu, Salang berkata, artis yang ditimpa bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, ribut juga layak mendapat bantuan sehingga RM5,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment