My Add

Thursday 3 May 2012

SPAD laksanakan pelesenan terminal

SHAH ALAM, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Para pengguna perkhidmatan terminal pengangkutan darat seperti terminal bas, teksi, kereta api, transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) akan menikmati kemudahan lebih baik apabila terminal sedia ada diberikan lesen oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, melalui perlesenan terminal secara bersyarat tersebut, perkhidmatan kepada pengguna akan ditingkatkan termasuk menyediakan tandas lebih bersih, penjualan makan berkualiti dan kemudahan komunikasi.

Beliau berkata, bagi memastikan usaha tersebut tercapai, SPAD mengambil inisiatif menganjurkan bengkel untuk mendapat maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan dalam industri pengangkutan darat di Semenanjung.

"Sebelum memberi lesen selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kita mengadakan bengkel terdiri daripada pengendali pengangkutan awam, pengendali terminal, pengguna perkhidmatan pengangkutan awam, pakar-pakar perancangan awam, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT),'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Rangka Tindakan Pelesenan Terminal Pengangkutan Awam Darat di sini hari ini.

Bengkel tersebut merupakan yang pertama diadakan di seluruh negara dengan Wilayah Utara akan mengadakan program yang sama pada 10 Mei ini manakala Wilayah Timur pada 15 Mei depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment