My Add

Monday 21 May 2012

SPR minta pemilih semak butiran dari sekarang


PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) beramah mesra dengan penerima anugerah ketika menghadiri majlis Hari Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 SPR di Kuantan, hari ini. - Foto Azmaidi Abidin

KUANTAN, ISNIN, 21 Mei, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua yang sudah berdaftar sebagai pemilih, terutama yang mendaftar pada suku pertama tahun ini, agar menyemak butiran mereka dengan SPR dari sekarang. 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata semakan itu perlu bagi SPR membuat pindaan atau pembetulan jika ada kesilapan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.

"Jangan tunggu sehingga hari mengundi baru nak semak, ini akan menyukarkan kedua-dua pihak jika berlaku kesilapan dan sebagainya sebab kita tak tahu bila pilihan raya akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPR 2011, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, SPR akan mengadakan kempen semakan daftar pemilih secara besar-besaran selama sebulan bermula 1 hingga 31 Jun ini di seluruh negara. 

Beliau juga meminta 100,000 pemilih yang dikesan mempunyai alamat sama supaya mengemas kini maklumat mereka dengan SPR bagi mengelak kesulitan apabila pilihan raya berlangsung kelak. 

"Ini kerana segala butiran atau pindaan tidak boleh dibuat menerusi talian, SMS atau panggilan telefon kepada SPR, malah mengikut undang-undang SPR tidak ada hak untuk meminda alamat atau apa-apa butiran melainkan pemilih sahaja yang berhak membuat pertukaran dan pindaan tersebut," katanya. 

Beliau berkata, pemilih yang ingin melakukan pindaan perlu mengisi Borang A dan pindaan yang dibuat sebelum suku kedua tahun ini berakhir akan dipamerkan pada minggu ketiga Ogos nanti.

Mengenai poster pilihan raya, Abdul Aziz berkata, SPR akan memutuskan sama ada mewajibkan parti politik yang bertanding meletakkan nama pencetak dan penerbit pada poster yang mempunyai slogan parti. 

"Perkara ini akan diputuskan esok dalam mesyuarat panel SPR. Dulu kita tarik balik arahan terbabit," katanya menjelaskan perkara terbabit hanya meliputi poster yang tidak dicetak dan poster berslogan. 

"Poster yang hanya memaparkan gambar calon dan nama kawasan yang ditandingi tidak termasuk dalam peraturan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment