My Add

Monday 21 May 2012

Garis panduan baru pinjaman bertanggungjawab kekal::Zeti

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia tidak berhasrat untuk mengkaji semula garis panduan barunya bagi pinjaman yang bertanggungjawab pada masa ini, kata Gabenor, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini. 

"Apa saja yang perlu diselesaikan adalah melalui perbincangan dua hala. Sekarang ini kita tidak mempunyai hasrat berbuat demikian," katanya ketika mengulas laporan bahawa garis panduan berkenaan akan dikaji semula.

Garis panduan pinjaman Bank Negara itu, berkuatkuasa 1 Januari, menetapkan bahawa pinjaman hanya akan diluluskan berdasarkan pendapatan bersih dan bukan pendapatan kasar sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Garis panduan baru itu yang bertujuan untuk menguruskan hutang isi rumah di Malaysia pada tahap yang munasabah.

Banyak pihak dalam industri automotif tidak gembira dengan garis panduan tersebut dan mengaitkan penurunan dalam jualan kenderaan kepada pelaksanaan garis panduan itu. 

Zeti berkata, adalah tidak tepat bagi sesetengah peserta automotif untuk menyalahkan garis panduan berkenaan yang menyebabkan penurunan dalam jualan kenderaan. 

"Saya tidak fikir ia suatu yang betul ... kerana garis panduan kita adalah untuk memastikan peminjam dalam kedudukan sesuai untuk menambah hutang dan ini adalah penting.

"Tidak ada gunanya jika peminjam tidak boleh membayar hutang dan kereta ditarik. Kita mahu mereka yang mempunyai keupayaan untuk mengambil (hutang), " katanya. 

Oleh itu, beliau berkata, garis panduan berkenaan bagi memastikan hutang isi rumah Malaysia dan kualiti hutang kekal positif. 

Di samping itu, Zeti berkata, pinjaman tidak berbayar di negara ini sudah menurun. 

Beliau juga berkata, jualan kenderaan berdasarkan kelebihan berbanding seperti kos keberkesanan, reka bentuk model dan inovasi yang diambil syarikat automotif. 

"Semua ini akan membantu mereka. Dan juga adalah jelas bahawa pasaran Malaysia pada satu masa nanti akan menjadi sangat tepu. Ia sudah tepu dari segi pemilikan kereta," tambah beliau. 

Zeti berkata, adalah penting untuk peserta automotif menjadi sangat kompetitif dan mengeksport kenderaan mereka ke luar negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment