My Add

Friday 11 May 2012

Tiga kawasan peneroka Felda pertama terima durian runtuh

TANJUNG MALIM, KHAMIS, 10 Mei, 2012: Felda Wilayah Trolak di Perak dan Hulu Selangor serta Gugusan Felda Sungai Koyan di Kuala Lipis adalah antara penerima awal durian runtuh sebagaimana yang diumumkan Persana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Seramai 7,845 ketua keluarga peneroka dari 21 tanah rancangan Felda Wilayah Trolak di Perak dan Hulu Selangor menerima bayaran khas fasa pertama yang keseluruhannya berjumlah RM39.2 juta disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam satu majlis di Felda Besout 2, Sungkai, dekat sini.

Zambry berkata, semua peneroka berkenaan termasuk dari empat tanah rancangan Felda di Selangor akan menerima bayaran RM5,000 setiap seorang secara berperingkat-peringkat mulai hari ini.

"Pengumuman imbuhan khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini bukan durian runtuh tetapi sawit runtuh kerana durian tiada harga tetapi kelapa sawit ada harga.

"Saya mohon supaya apa yang kita dapat ini dijadikan sebagai kesyukuran kepada Allah serta usaha kerajaan membantu meringankan masalah dan menjadikan peneroka Felda benar-benar berjaya," katanya pada majlis berkenaan.

Pada majlis tersebut, seramai 25 peneroka iaitu masing-masing lima orang dari Felda Besout 1, Felda Besout 2, Felda Besout 3, Felda Besout 4 dan Felda Besout 5 menjadi kumpulan pertama menerima bayaran tersebut yang dibuat hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Zambry juga menempelak pihak tertentu yang hanya tahu memperlekeh setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk mendakwa pemberian durian runtuh itu sebagai 'rasuah politik'.

Sementara itu, bagi peneroka di Gugusan Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis pula menerima durian runtuh dengan pembayaran berjumlah RM4.2 juta hari ini.

Satu majlis khas penyerahan replika cek kepada pengerusi jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK) ketiga-tiga rancangan itu diadakan di Dewan Orang Ramai Sungai Koyan 2 di sini, yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Jumlah itu melibatkan seramai 851 peneroka dari Felda Sungai Koyan 1, Sungai Koyan 2 dan Sungai Koyan 3 yang dijangka akan menerima cek masing-masing dalam minggu ini.

Bagi warga peneroka Felda Koyan 1, mereka akan menerima sejumlah RM1.5 juta diikuti Sungai Koyan 2 (RM1.3 juta) dan Sungai Koyan 3 (RM1.39 juta).

Menurut Wan Rosdy, kerajaan sentiasa mengotakan janji kepada warga peneroka setelah mengumumkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FVGH) semasa pembentangan Bajet 2012 tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment