My Add

Wednesday 9 May 2012

Tukang paip disyaki terbabit kes pecah rumah

GEORGETOWN, RABU, 09 Mei, 2012: Seorang tukang paip berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar bandar ini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata hasil risikan selama beberapa minggu polis mendapati lelaki itu bertindak bersendirian dan menjadikan pusat hiburan serta rumah kedai sebagai sasaran.

"Polis percaya dengan penangkapan lelaki itu, polis dapat menyelesaikan lima kes samun dan pecah rumah membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit di sekitar bandar ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis menemui beberapa barang bukti di rumah suspek antaranya sembilan telefon bimbit, tiga buah komputer riba, tujuh beg berjenama, dua mesin Sistem Kedudukan Global (GPS) dan 11 botol minuman keras pelbagai jenama. 

Gan berkata, suspek ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 

Dalam satu kes lain, polis meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki seorang kontraktor yang dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu. 

“Kontraktor itu, Zulkifly Amin Salleh, 34, dilihat kali terakhir di hotel di Persiaran Gurney di sini,” katanya.

Gan berkata, polis percaya lelaki terbabit masih hidup berdasarkan kepada beberapa transaksi pengeluaran yang dilakukan melalui kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa buah negeri sebelah utara. 

"Ibunya membuat laporan berhubung kehilangan anaknya itu dan apa yang menyedihkan ialah ibu Zulkifly baru saja meninggal dunia beberapa minggu lalu dan dia masih gagal dihubungi," katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Azuary Norazmi di talian 012-4153396 atau balai polis berdekatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment