My Add

Saturday 12 May 2012

Umat Islam dinasihat jangan buat kecoh di Tanah Suci

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Umat Islam yang mahu menunaikan haji atau umrah di tanah suci dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kekecohan, sebaliknya memberi tumpuan penuh terhadap ibadah yang ingin dilakukan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam harus berfikiran rasional terutama dalam hal yang berkaitan hukum agama dan tidak melakukan perkara-perkara memudaratkan.

"Kita digalakkan berziarah ke Baitullah untuk menunaikan ibadah haji dan melakukan ibadah umrah mengikut sunah Rasulullah SAW, bukannya dengan membawa agenda tertentu untuk dilaksanakan di sana.

"Niat yang bertepatan dengan hukum agama wajib dijaga oleh setiap umat Islam bagi menjamin kesucian agama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung penentuan kuota haji Malaysia yang akan diumumkan Julai ini.

Tindakan sama ada akan dikekal atau dikurangkan jumlah jemaah Malaysia diambil oleh kerajaan Arab Saudi berikutan berlakunya perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah baru-baru ini.

Menurut Harussani, sikap terlalu taksub di dalam soal politik sehingga terbawa-bawa ke tempat yang tidak sepatutnya, tidak wajar berlaku.

"Membawa agenda politik di Mekah dan Madinah sudah mencemarkan tujuan sebenar kita ke sana, perkara ini perlu dielakkan," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram tersebut adalah bakal ulama pada masa akan datang.

Justeru katanya, sebagai pewaris Nabi Muhammad SAW, mereka perlu menunjukkan dan mencontohi akhlak baginda.

"Amat tidak wajar sekiranya berlaku dalam kalangan mereka yang bakal menjadi pewaris nabi ini keadaannya begitu sekali gus menjadi contoh ikutan generasi akan datang," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment