My Add

Tuesday 22 May 2012

Umno: Penyertaan profesional dalam parti perkara biasa

Datuk Ahmad Maslan

SHAH ALAM, ISNIN, 21 Mei, 2012: Penyertaan golongan profesional dalam parti politik adalah perkara biasa yang tidak perlu diperbesar atau diuar-uar, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan hari ini.

Katanya, perkara itu juga melambangkan amalan demokrasi di negara ini, yang mana rakyat berhak memilih parti yang mahu mereka sertai.

"Sesiapapun berhak memilih parti mana yang mereka mahu, tidak kiralah golongan profesional atau sesiapa pun, jadi hal ini tidak perlu dihebahkan.

"Dalam Umno pun terdapat ramai golongan profesional tetapi kita tidak mendabik dada dan hebohkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia Peringkat Selangor di sini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari dalam Pas kelmarin.

Pandangan itu turut dikongsi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang turut hadir pada majlis tersebut.

Majlis dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengulas mengenai kehadiran kira-kira 2,000 peserta pada majlis itu, Jamil Khir berkata, perkara tersebut menunjukkan penerimaan rakyat Selangor terhadap usaha kerajaan dalam menjelaskan keseiringan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dan 1Malaysia.

Selangor merupakan negeri ketiga selepas Kedah dan Negeri Sembilan dalam siri penerangan anjuran Jabatan Perdana Menteri di 14 negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment