My Add

Friday 15 June 2012

10,000 profesional Huawei

*NAJIB diberi penerangan mengenai telefon bimbit jenama Huawei sambil diperhatikan oleh Cha Xi (kanan) dan Victor Wang (empat dari kiri) pada majlis perasmian Pusat Latihan Global Malaysia Huawei (MGTC) di Cyberjaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
dan NAZMIL NASIRUDDIN
CYBERJAYA, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Penubuhan Pusat Latihan Global Malaysia (MGTC) Huawei di sini, membuka ruang kepada negara memiliki 10,000 tenaga kerja profesional dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat latihan pertama yang ditubuhkan luar daripada China itu bertujuan melatih tenaga pakar dengan latihan teknologi terkini dalam bidang telekomunikasi dan ICT

Beliau berkata, manfaat penghasilan tenaga mahir itu boleh dipasarkan kepada pelanggan-pelanggan Huawei di seluruh dunia termasuk di rantau Asia Pasifik, Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin.

Menurutnya, MGTC Huawei juga secara tidak langsung dapat menyumbang sebanyak RM1.2 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020.

“Komitmen pusat latihan global ini sedang direalisasikan melalui pelbagai program bakat seperti Makmal Latihan Rujukan Huawei di Pusat Pembangunan k-Pekerja yang telah ditubuhkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Ia turut melibatkan program MSC Malaysia MyUniAlliance yang meliputi Train-the-Trainer (Melatih Jurulatih), kurikulum universiti dan Makmal Latihan Universiti Huawei (HUTL) dengan perkongsian 10 universiti tempatan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pusat latihan global syarikat telekomunikasi terkemuka dari China itu, di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Cina ke Malaysia, Chai Xi; Pegawai Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Naib Presiden Kanan Huawei, Victor Wang; dan Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Huawei dan 10 universiti tempatan yang terpilih sebagai permulaan penubuhan HUTL.

Universiti tersebut ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Multimedia (MMU); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Beliau berkata, komitmen untuk melatih golongan profesional turut merangkumi Biasiswa Huawei MSC Malaysia, Kem Kerjaya untuk graduan yang baru menamatkan pengajian di universiti dan program persijilan MyProCert untuk pekerja profesional.

“Program ini akan menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia dilatih dan dilengkapi dengan pengetahuan terkini dalam bidang komunikasi dan ICT yang dapat membuka ruang kepada mereka berkhidmat di peringkat antarabangsa selain dalam negara.

“Hasilnya nanti, kita akan mendapat faedah daripada tenaga kerja terlatih untuk membantu memacu ekonomi negara menjelang 2020," katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai pemain industri khususnya sektor swasta mengikut jejak langkah Huawei membangunkan tenaga kerja terlatih dalam bidang ICT di negara ini.

Sementara itu, Wang berkata, pihaknya melabur sebanyak RM90 juta dalam bentuk penyediaan kemudahan dan infrastruktur untuk membangunkan bakat dalam bidang ICT di negara ini sejak 2010. - UTUSAN.



No comments:

Post a Comment