My Add

Friday 15 June 2012

2 ahli PKR disiasat berhubung kes seleweng baucar

SHAH ALAM, JUMAA, 15 Jun, 2012: Dua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) disiasat berhubung aduan penyelewengan baucar program "Jom Shopping" yang diperkenalkan kerajaan PKR Selangor, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau berkata, seorang daripada mereka digantung keanggotaan dalam parti sementara siasatan dijalankan.

Saifuddin berkata, tindakan itu diambil selepas menerima maklum bahawa kerajaan Selangor sedang menyiasat satu aduan berhubung dakwaan penyelewengan baucar program "Jom Shopping" yang membabitkan dua anggota parti itu.

"PKR memandang serius akan perkara ini dan melalui mesyuarat Biro Politik pada Rabu, 13 Jun 2012, sudah meminta Jawatankuasa Disiplin parti untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Saifuddin berkata, PKR tidak akan berkompromi dengan ahli yang melakukan kesalahan disiplin, lebih-lebih lagi kesalahan yang mencemarkan maruah dan nama baik parti.

Kerajaan negeri Selangor menawarkan baucar beli-belah bernilai RM100 kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri ini sempena program "Jom Shopping" yang diperkenalkan pada 15 Julai tahun lalu. 

Sebanyak RM10 juta diperuntuk untuk program ini melalui keuntungan perlombongan pasir yang dilakukan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). 
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika diminta mengulas perkara itu mengakui bahawa ada segelintir pihak yang menyalahgunakan baucar beli-belah berkenaan. 

Beliau, bagaimanapun, berkata kerajaan negeri hanya mengenal pasti lima ataupun enam kes seumpama itu. 

"Walaupun hanya lima ataupun enam individu terbabit, kerajaan negeri tidak memandang remeh perkara ini dan akan menyerahkan kepada pihak audit (negeri) untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program khas bersama rakyat daerah Klang di Kampung Batu 4, Kapar. 

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri mempunyai sistem pangkalan data rapi yang menyimpan senarai nama warga emas yang layak mendapat baucar itu.

Katanya, setakat ini sejumlah RM8 juta dibelanjakan untuk program itu dan hanya sekitar RM6,000 yang diragui perbelanjaannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment