My Add

Friday 15 June 2012

207 premis di ibu negara tidak mohon sijil perakuan bomba

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Sebanyak 207 premis di ibu negara gagal memohon untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba (FC) kerana sikap mengambil mudah soal mencegah kebakaran, meskipun bayaran untuk mendapatkan sijil itu berpatutan. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Derahman, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 702 premis di sekitar ibu negara, yang ditetapkan memiliki FC, berdasarkan statistik terkini dari Januari hingga Mei tahun ini.

"Tahap kesedaran pemilik premis masih rendah sedangkan peruntukan (untuk mendapatkan FC) biasanya disediakan tetapi sikap sambil lewa menyebabkan pemilik premis tidak memohon FC," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah di sini.

Katanya, 495 premis membabitkan bangunan sektor kerajaan dan swasta di ibu negara memiliki FC. 

Beliau berkata, premis yang ditetapkan memiliki FC adalah perpustakaan, hospital dan pusat perubatan, hotel, asrama dan dormitari, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan dan stor. 

Khiruddin berkata, bayaran untuk mendapatkan FC adalah antara RM310 dan RM620 bergantung kepada jenis dan saiz bangunan. Bayaran sijil bagi kebanyakan premis seperti hospital, hotel, pejabat, kedai, kilang dan stor adalah sebanyak RM400. 

Bagi memperbaharui sijil perakuan itu, bayaran pada setiap tahun adalah lebih rendah daripada bayaran asal, katanya. 

Beliau berkata, wujud juga sikap lepas tangan pemilik premis yang apabila memperoleh kelulusan Sijil Menduduki (CF) enggan memohon FC daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, walaupun kedua-dua aspek itu saling berkaitan. 

Katanya, permohonan FC sangat penting dalam memastikan setiap peralatan pemadam kebakaran berfungsi dengan baik dan dapat digunakan jika berlaku kebakaran. 

Tanpa sijil FC ini, mana-mana pemilik bangunan tidak boleh membuat tuntutan insurans jika bangunan mereka terbakar dan ia termaktub dalam syarat tuntutan syarikat insurans, tegasnya. 

Selain itu, kata Khiruddin, mangsa kebakaran juga boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman pemilik bangunan atas faktor kecuaian. 

Khiruddin berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat mensasarkan semua premis yang ditetapkan memiliki FC pada 2013. 

Beliau berkata, kegagalan memiliki FC boleh menyebabkan pemilik premis didakwa mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Khiruddin berkata, FC akan dikeluarkan dalam masa lima hari bekerja selepas permohonan dikemukakan dan proses pemeriksaan bomba. 

Katanya, bomba akan mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik premis yang tidak memohon FC dan kegagalan mendapatnya akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment