My Add

Sunday 17 June 2012

50 terkorban di Rakhine

*WANITA dan kanak-kanak Rohingya berlindung daripada keganasan agama dan etnik di Rakhine di sebuah rumah di Pulau Shah Pari di Teknaf, Bangladesh, kelmarin. - REUTERS

YANGON, SABTU,16 Jun, 2012: Angka korban akibat keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, barat Myanmar mencecah 50 orang hari ini, sementara 54 yang lain dilaporkan cedera.

Menurut akhbar kerajaan, New Light of Myanmar, jumlah itu mengambil kira keganasan bermula pada 28 Mei lalu hingga kelmarin berpunca daripada pergaduhan antara etnik Rakhine Buddha dengan Rohingya Islam.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada ia termasuk 10 penganut Islam yang dipukul sehingga mati oleh perusuh Buddha pada 3 Jun lalu.

New Light of Myanmar berkata, perintah darurat yang dikuatkuasakan di negeri yang bersempadan dengan Bangladesh itu pada Sabtu lalu dikatakan telah berjaya ‘memulihkan keamanan, kestabilan dan keselamatan’ di Rakhine.

“Kelmarin, hanya terdapat dua rusuhan yang berlaku dan pihak berkuasa yakin dapat mengawalnya secara aman," lapor akhbar kerajaan itu.

Hampir 31,900 orang daripada kedua-dua pihak turut ditempatkan di 37 kem pelarian di seluruh Rakhine, manakala beribu-ribu rumah terbakar sejak keganasan itu tercetus Jumaat lalu.

Diskriminasi selama berdekad-dekad menyebabkan etnik Rohingya Islam tidak mempunyai negara dan dianggap sebagai kumpulan minoriti paling ditindas di muka bumi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 800,000 etnik Rohingya tinggal di Myanmar, kebanyakannya di Rakhine, menurut PBB.

Kerajaan Myanmar menganggap etnik Rohingya sebagai orang asing, sementara kebanyakan rakyat di negara ini pula melihat mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan mengambil sikap bermusuhan. - AFP

No comments:

Post a Comment