My Add

Sunday 17 June 2012

Manifestasi sokongan rakyat

70,000 hadiri program Jelajah Janji Ditepati di Perak

TAIPING, AHAD, 17 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kehadiran 70,000 pengunjung pada Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perak hari ini sebagai manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN). 

Beliau berkata, kehadiran ramai pengunjung pada program hari ini menunjukkan rakyat merasa lebih dekat dengan kerajaan BN, yang boleh membantu mereka melayari bahtera hidup dalam keadaan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Program yang diadakan ini memberi sokongan yang besar dan kuat terhadap kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang memimpin negara untuk membawa Malaysia ke ambang yang lebih cemerlang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di sini.

Beliau berharap rakyat Perak terus memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang. 

"Gelombang-gelombang biru telah meningkat, inilah hasil manifestasi sokongan rakyat bila pilihan raya sampai orang Perak tiada pilihan lain selain menyokong parti BN untuk kita laksanakan agenda menepati janji," katanya. 

Muhyiddin berkata, sokongan itu berikutan komitmen kerajaan dalam memberi kehidupan yang baik kepada rakyat negara ini. 

Katanya, kerajaan BN melaksanakan agenda sosio ekonomi, budaya dan politik sejak 55 tahun lepas sehingga rakyat dapat hidup dengan lebih selesa berbanding sebelum ini. 

"Ini menunjukkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan (Barisan Nasional) untuk mentadbir negara. Dengan program-program yang tersusun pada setiap peringkat lima tahun sekali dalam Rancangan Malaysia, setiap tahun belanjawan-belanjawan yang disediakan untuk negara, maka semua yang kita telah janjikan dengan mengambil kira keperluan rakyat jelata dalam semua bidang dapat ditunaikan," katanya. 

Katanya, kejayaan negara diberi pengiktirafan oleh masyarakat dunia apabila Malaysia dikategorikan sebagai antara negara membangun yang paling maju. 

"Negara seperti Malaysia yang tidak besar ini kita telah membuat perancangan yang disusun rapi umpamanya adalah dari segi pembangunan ekonomi negara. 

"Pada waktu mulanya negara ini mencapai kemerdekaan, hanya dikenali sebagai negara pertanian yang bermula dari getah, padi dan sedikit sebanyak kelapa sawit tapi kita tengok dalam tempoh 50 tahun geografi muka bumi negara kita sudah bertukar wajah bukan lagi hanya berjaya dalam sektor pertanian malah komitmen kita untuk mempelbagaikan ekonomi negara telah pun berjaya dengan maju dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan," katanya. 

Selain itu, beliau berkata perancangan rapi dilakukan kerajaan bagi membantu rakyat berdasarkan kepada keperluan yang dikehendaki mereka melalui peruntukan dalam pelbagai sektor yang disediakan setiap tahun. 

"Antara perkara yang paling utama yang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan adalah soal pembangunan dalam bidang pendidikan kerana ia dianggap sebagai senjata utama untuk membolehkan rakyat kita maju ke hadapan," katanya. 

Dalam sektor kesihatan, kerajaan BN juga menepati janji di mana setiap individu yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan dikenakan bayaran yang amat kecil sekali kerana ia mengambil kira taraf hidup rakyat, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment