My Add

Tuesday 19 June 2012

Ahli Parlimen Pas tegaskan radiasi Lynas rendah

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Ahli Parlimen Hulu Langat daripada Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menegaskan, tahap radiasi di projek memproses nadir bumi, Lynas berada pada paras rendah berbanding yang dibenarkan.

Beliau yang merupakan seorang pakar nuklear juga berpuas hati dengan pembentangan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya berpuas hati dengan pembentangan ini sebab jawatankuasa mengutip pandangan-pandangan dan masalah-masalah masyarakat. Kalau baca daripada muka surat 17 hingga 18 laporan itu, memang betul, itu bagus dan saya setuju.

"Saya tidak berani kata projek Lynas ini selamat atau tidak, tetapi daripada segi radiasi saya tahu ia rendah sebab saya sendiri ukur benda itu. Tahap radiasi memang rendah daripada yang dibenarkan, bagaimanapun banyak faktor lain perlu diberikan perhatian," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Che Rosli sebelum ini menimbulkan kontroversi dalam pakatan pembangkang apabila mengakui bahawa projek Lynas adalah selamat dan tidak seperti dakwaan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, dalam satu sesi temu bual dengan stesen televisyen TV3 sebelum ini, Che Rosli menyifatkan tindakan segelintir pemimpin pakatan pembangkang yang mendakwa projek berkenaan sebagai satu ancaman kepada rakyat sebagai tidak lebih daripada sekadar meraih kepentingan politik.

Ditanya mengenai pemberian lesen sementara operasi kepada Lynas untuk beroperasi, Che Rosli memberitahu bahawa ia merupakan tindakan yang betul.

"Lynas perlu buat 'lapscale' dari awal, macam mana nak simpan (nadir bumi) dan pemberian lesen sementara operasi perlu supaya rakyat boleh melihat sendiri tiada aktiviti penyebaran (radiasi) ke Sungai Balok seperti didakwa," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment