My Add

Thursday 21 June 2012

Akaun RM3 bilion: Pakatan dakwa Murad diugut

ARHIZA AHMAD 
KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid menerima ugutan berhubung pendedahan akaun sejumlah RM3 bilion melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Abdul Murad dipercayai didatangi pihak tertentu dan memberi arahan agar tidak membuat penafian berhubung kenyataan beliau terhadap Anwar.

“Kita mendapat maklumat bahawa beliau didatangi oleh pihak tertentu, yang melakukan ugutan, malah kami tahu siapa pegawai terbabit yang berbuat sedemikian.

“Abdul Murad telah didesak agar tidak membuat penafian, kita tahu beliau diugut,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung PKR pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan, semalam.

Sebelum ini, Abdul Murad telah mengedarkan akuan berkanun itu pada Oktober 1999 yang antara lain mendedahkan pemilikan kira-kira 20 akaun induk melibatkan Anwar bernilai lebih RM3 bilion.

Dalam perkembangan sama, bekas Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris pernah membuat akuan bersumpah bagi membuktikan bahawa siasatan telah dijalankan dan ditutup kerana tiada kes.

Sementara itu, Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen berkata, beliau menggesa mana-mana pihak untuk membuat siasatan sekiranya ada bukti baru mengenai dakwaan Abdul Murad itu.

Anwar sekali lagi mengulangi pelawaannya agar pihak berkuasa tampil membuat siasatan semula jika wujudnya bukti-bukti baru membabitkan dakwaan tersebut.

“Saya sedia disiasat dan akan berikan kerjasama dalam kes ini, tetapi apa yang saya lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan ia merupakan kes kitar semula.

“Ini semua tuduhan yang tidak berasas, saya juga mencabar mereka untuk membuktikan saya mempunyai akaun di bank seperti yang didakwa,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment