My Add

Monday 18 June 2012

Ambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj - PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Jun, 2012: Umat Islam di negara ini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj untuk mengukuh akhlak sebagai Muslim yang unggul terutama melalui solat dan ibadah-ibadah yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keruntuhan moral serta akhlak yang kurang baik di kalangan umat Islam berpunca daripada solat yang tidak khusyuk menyebabkan mereka melakukan perbuatan keji dan maksiat.

Jelas beliau, Rasulullah SAW sentiasa menyeru umatnya menjaga solat dan perlu khusyuk menunaikannya kerana ia berupaya menjadi benteng mengukuh kekuatan akidah bagi menghadapi segala serangan sosial masa kini.

"Sesungguhnya, tarikh 27 Rejab secara tradisi membawa ingatan kepada satu peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj. Biarpun kisah ini berlaku 1,400 tahun yang lalu, tetapi kepentingannya amat signifikan buat umat Islam.

"Justeru, adalah lebih afdal kiranya kita menjadikannya sebagai pedoman bagi mendepani cabaran semasa umat hari ini," katanya dalam perutusan sempena sambutan Israk dan Mikraj dalam blognya, http://1malaysia.com.my.

Menurut Najib lagi, sebagaimana nabi-nabi terdahulu telah disatukan untuk berimamkan Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, umat Islam yang ada pada hari ini juga perlu bersatu untuk mempertahan dan menegakkan agama Islam.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai keadaan huru-hara yang terpaksa dilalui umat Islam di Asia Barat, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan kestabilan yang dianugerah Allah kepada negara ini.

Tegas beliau, kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang dinikmati seluruh rakyat Malaysia pada hari ini perlu sentiasa didokong dan dijaga semua pihak agar nikmat tersebut tidak hilang seperti mana yang berlaku di Asia Barat.

"Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah dinobatkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dalam Indeks Keamanan Global dan saya menyeru segenap lapisan masyarakat agar menyokong usaha-usaha kerajaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment