My Add

Sunday 17 June 2012

Anugerah Nobel penyelamat Myanmar

*PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi memberi ucapan di Oslo sempena kemenangannya itu selepas 21 tahun berlalu. - Foto AFPSuu Kyi beri syarahan kemenangan selepas diisytiharkan pemenang 21 tahun lalu

AHAD, 17 Jun, 2012
OSLO: Pemimpin prodemokrasi Myanmar, menyifatkan pengumuman beliau menang Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 menjadikan dirinya merasa kembali ke alam sebenar dan memastikan bahawa hal ehwal negara itu tidak dilupakan. Ketika memberi syarahan sempena kemenangannya itu selepas 21 tahun berlalu, Suu Kyi berkata, beliau mengetahui mengenai pemenang hadiah itu melalui radio dan merasakan seperti tidak percaya ia berlaku.

“Tetapi, pada masa sama ia membuka pintu hati saya. Sering kali ketika dalam tahanan kediaman, saya rasa tidak lagi menjadi sebahagian daripada dunia sebenar,” katanya.

Oleh itu, katanya lagi, memenangi Hadiah Nobel Keamanan menyebabkan beliau rasa kembali ke alam nyata. Ia membolehkan beliau kembali ke pangkuan masyarakat antarabangsa.

Katanya, pengumuman jawatankuasa hadiah Nobel Keamanan menarik perhatian dunia terhadap perjuangan beliau untuk demokrasi dan hak asasi di Myanmar.
“Kami tidak akan dilupakan,” tegasnya ketika bercakap di ibu negara Norway, Oslo. Beliau juga akur bahawa sokongan negara Barat adalah faktor kepada perubahan Myanmar.

Suu Kyi menghabiskan sebahagian besar daripada 24 tahun lalu dalam tahanan kediaman di Myanmar. Beliau dibebaskan lewat 2010.

Suu Kyi memutuskan untuk tidak mengambil hadiah itu kerana bimbang tidak dibenarkan pulang semula ke Myanmar.

Lawatan beliau ke Oslo adalah sebahagian daripada jelajah Eropah kali pertama sejak 1988 bermula di Pertubuhan Buruh Antarabangsa PBB (ILO) di Geneva.

Suu Kyi dijadual bertemu ahli masyarakat Myanmar yang melarikan diri dan kini tinggal di Norway. Ketika melancarkan majlis di Oslo, Pengerusi Jawatankuasa Nobel Norway, Thorbjorn Jagland berkata: 

“Kepada Aung San Suu Kyi, kami menanti anda sejak sekian lama. Pada masa sama, kami amat menyedari bahawa penantian anda adalah satu dugaan kepada anda, berbeza daripada apa yang kami hadapi.

“Ketika anda tidak dapat bertemu masyarakat kerana ditahan, anda menjadi suara moral masyarakat dunia.”

Jagland menyifatkan wanita itu sebagai ‘satu hadiah bernilai kepada masyarakat dunia.”

Beliau juga menyifatkan perubahan dalaman Myanmar sebagai positif tetapi memberi amaran supaya tidak membuta tuli percaya pembaharuan itu akan lancar.

“Parti saya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan saya sendiri bersedia serta sanggup memainkan sebarang peranan dalam proses penyatuan semula kebangsaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembebasan tanpa syarat semua tahanan politik. Suu Kyi juga merujuk kepada konflik etnik di negaranya dan mengakhiri ucapan dengan mengatakan menerima Hadiah Nobel Keamanan menguatkan semangatnya untuk melakukan kerja keamanan. – Agensi

No comments:

Post a Comment