My Add

Wednesday 6 June 2012

Anwar kena jawab pernyataan bela Nallakaruppan

KUALA LUMPUR, RABU, 06 Jun, 2012: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi tempoh sehingga 20 Jun untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pernyataan pembelaan Presiden Parti India Malaysia Senator Datuk S.Nallakaruppan berhubung saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkannya Mac lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd. Afiq Mohd. Noor yang mewakili Anwar memohon tempoh selama dua minggu untuk menjawab pernyataan tersebut.

Pada 26 Mac, Anwar memfail saman terhadap Nallakaruppan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak, berhubung perkataan-perkataan beliau (Nallakaruppan) yang mencemar nama baiknya melalui kenyataan yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac.

Dalam pernyataan tuntutan, Anwar berkata, perkataan fitnah yang terkandung dalam artikel akhbar berkenaan adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

Anwar mendakwa beliau menghantar surat tuntutan menerusi peguamnya kepada defendan supaya menarik balik perkataan yang berbaur fitnah itu tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Beliau menuntut ganti rugi am berjumlah RM100 juta, selain ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment